SEMINGGU sahaja lagi sebelum saingan Piala Dunia Hoki Remaja membuka tirai di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur dari 5 hingga 16 Disember ini.
Tumpuan pastinya kepada skuad remaja kebangsaan yang turun dengan misi sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir, menyamai pencapaian edisi 2021 di Bhubaneswar, India.
Ia sememangnya tugasan yang amat mencabar memandangkan Young Tigers berada dalam Kumpulan A bersama juara bertahan, Argentina; gergasi benua Oceania, Australia dan wakil dari Pan Amerika, Chile.
Realistiknya ia tidak mudah jika melihat prestasi skuad remaja sepanjang persediaan mereka tahun ini terutamnya sewaktu Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru berakhir awal bulan ini.
Pasukan projek khas itu tewas semua tiga aksi kumpulan, 2-3 kepada New Zealand, 1-3 India dan 2-3 kepada Pakistan sebelum mereka tumbang 4-7 kepada Great Britain di pusingan crossover.
Mujur mereka bangkit dalam aksi terakhir dengan menewaskan Afrika Selatan 3-2 untuk menamatkan SOJC di tempat ketujuh daripada lapan pasukan .
Namun, realitinya lebih berbeza sebaik sahaja barisan pemain turun membuka kempen menentang Chile pada 5 Disember kerana semua pasukan tidak lagi bereksperimen, sebaliknya akan memberikan yang terbaik.
Skuad bimbingan Muhammad Amin Rahim itu tidak boleh kalah kepada Chile dan cuba mencari kemenangan ke atas Argentina atau Australia untuk mara ke suku akhir.
Malaysia mempunyai rekod kemenangan 100 peratus dalam tiga pertemuan dengan Chile dan turut mempunyai peluang mengejutkan Argentina pada 6 Disember.
Walaupun Argentina berstatus juara bertahan dan pernah empat kali menewaskan skuad negara, namun tiga pertemuan terakhir lebih memihak Malaysia.
Australia pula seperti badi buat Malaysia yang tewas sembilan kali daripada 14 pertemuan di peringkat remaja termasuk diaibkan 0-8 sewaktu SOJC bulan ini.
Penasihat Teknikal Pembangunan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Stephen van Huizen tidak mahu anak-anak buahnya tertekan melihat rekod dan statistik kerana semuanya bermula semula daripada kosong di atas padang nanti.
“Chile datang awal 10 hari ke sini dan ia membuktikan mereka benar-benar serius. Tak boleh cakap kita pasti akan menang ke atas Chile. SOJC baru-baru ini pun kita boleh tengok peningkatan Australia.
“SOJC berikan peluang untuk kita cuba taktik. Ada yang berkesan, bukannya semua negatif. Sekarang terpulang kepada kita.
“Kalau kita main bagus, kita boleh jaringkan gol. Pemain perlu tahu lawan akan lebih kuat di Piala Dunia Remaja, jadi mereka perlu bersedia dan cuba berikan yang terbaik,” katanya.
Pencapaian terbaik Malaysia di Piala Dunia Remaja adalah meraih tempat keempat sebanyak tiga kali pada edisi 1979 di Versailles, Perancis; 1982 di Kuala Lumpur dan 2013 di New Delhi, India.
Situasi beraksi di tempat sendiri bagaimanapun mampu menjadi kekuatan utama buat skuad remaja.
Jadi, manfaatkan kelebihan itu dengan persembahan hebat kerana pencapaian cemerlang mampu menyuntik motivasi tambahan kepada pasukan senior yang akan bermain kelayakan Olimpik bermula 15 Januari 2024.
Speedy Tigers perlu menjadi tiga pasukan terbaik daripada lapan negara bertanding pada aksi kelayakan Olimpik yang akan berlangsung di Muscat, Oman untuk meraih tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024.















