fbpx

Keputusan rayuan kes rasuah Isa Samad esok ditangguhkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Isa.

PUTRAJAYA – Keputusan rayuan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad terhadap hukuman penjara enam tahun dan denda RM15.45 juta berhubung sembilan kes rasuah pembelian sebuah hotel di Sarawak, yang sepatutnya berjalan esok di Mahkamah Rayuan, di sini ditangguhkan ke tarikh lain.

Bagaimanapun, alasan penangguhan prosiding keputusan berkenaan tidak dimaklumkan kepada pihak media.

Sebelum ini, panel tiga hakim yang dipengerusikan hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk SM Komathy Suppiah telah memutuskan keputusan itu esok pada pukul 9 pagi.

Berdasarkan notis berhubung keputusan tersebut yang dikeluarkan pada 17 Oktober lalu, notis telah diserahkan kepada pihak peguam bela daripada Tetuan Salehuddin Saidin dan Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Menurut notis berkenaan, pihak perayu perlu memfailkan hujahan bertulis tambahan pada atau sebelum 25 Oktober ini, manakala hujahan balas difailkan pada atau sebelum 1 November lalu.

Pada prosiding lalu, peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili Mohd. Isa berhujah, hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika mensabitkan anak guamnya atas kesalahan rasuah apabila mencapai dapatan yang bercanggah di antara satu sama lain.

Sementara, Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memohon mahkamah menimbang keterangan pendakwaan bahawa Mohd. Isa terlibat dalam mesyuarat lembaga pengarah yang meluluskan pembelian hotel berkenaan, manakala wang RM3 juta itu adalah sebagai upah meluluskan pembelian itu.

Pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu, Mohd. Isa menganggap cadangan pembelian hotel bernilai RM160 juta itu dipersetujui oleh Felda Investment Corporations Sdn. Bhd. (FICSB) apabila tiada bantahan daripada ahli lembaga pengarahnya.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Isa, 74, didakwa menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada Ikhwan menerusi Muhammad Zahid, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada harga RM160 juta.

Kesalahan itu dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No 11, Persiaran KLCC, Kuala Lumpur, di antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

Bagaimanapun, Mohd. Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun apabila mahkamah memerintahkan supaya kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mahkamah menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan Mohd. Isa perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan hingga rayuan selesai.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI