ALOR SETAR – Sebahagian besar lelaki yang mahu mengamalkan poligami didapati tidak layak kerana tidak berkemampuan dari segi kewangan, malah ada antara mereka ditanggung oleh isteri.
Mendedahkan perkara itu, pengamal undang-undang syariah, Farah Diyana Azhar berkata, sebanyak 80 peratus kes diterima pihaknya melibatkan lelaki yang tidak mempunyai tahap kewangan kukuh, tetapi masih berhasrat mahu menambah pasangan.
Menurut beliau, lelaki yang membuat permohonan poligami perlu mengemukakan aset, pendapatan, tanggungan dan komitmen yang ditanggung untuk diteliti oleh mahkamah syariah sebagai syarat sebelum ia diluluskan.
Kesemua aspek itu perlu diambil kira bagi memastikan lelaki tersebut benar-benar layak untuk menambah isteri sekali gus mengelakkan berlaku penganiayaan atau ketidakadilan kepada isteri pertama dan baharu.
“Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila ada lelaki yang mahu berpoligami dan beranggapan dia mampu tanggung seorang lagi isteri dengan pendapatan sedia ada.
“Dia (suami) sebenarnya terlupa bahawa sebahagian perbelanjaan rumah dan anak-anak ditanggung isteri pertama.
“Apabila dicongak komitmen yang perlu ditanggung (tanpa bantuan isteri), dia sebenarnya tidak layak untuk menambah isteri,” katanya kepada Kosmo! Ahad di sini baru-baru ini.

Farah Diyana menjelaskan, terdapat juga kes yang diterima pihaknya melibatkan seorang bapa empat anak yang menyorokkan perkahwinan dengan isteri muda di Thailand kerana tidak mampu dari segi kewangan.
“Semakan mendapati lelaki itu bergaji RM2,000 sebulan dan pendapatan itu pula bergantung kepada komisen. Isteri pertama tidak bekerja.
“Selepas bernikah, isteri kedua pula berhenti kerja. Jadi sudah pasti dia sukar untuk menyara kedua-dua isterinya dan keluarga.
“Lelaki itu tidak buat permohonan untuk berpoligami, sebaliknya buat keputusan bernikah di negara jiran dan membuat pengesahan nikah di Malaysia,” ujarnya.

Tambah Farah Diyana, jumlah pendapatan bagi seseorang lelaki yang layak berpoligami adalah subjektif bergantung kepada komitmen dan tanggungannya.
“Ada yang bergaji RM10,000, namun masih tidak layak jika mempunyai lima atau enam anak, itu tidak termasuk komitmen hutang lain yang perlu dilangsaikan setiap bulan,” katanya.
Selain aspek kewangan, Farah Diyana memaklumkan, antara kriteria lain yang dinilai oleh mahkamah syariah untuk membenarkan poligami adalah kesihatan dan tanggungjawab.
Bagi pasangan yang bernikah di negara jiran pula, mereka tidak memohon kebenaran poligami di mahkamah syariah, jadi pertimbangan mengenai kelayakan suami tidak dapat dilakukan.
Beliau menambah, peruntukan di bawah Seksyen 23(1) dan (2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Pulau Pinang 2004 menyatakan seseorang lelaki perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu secara bertulis daripada mahkamah sebelum menambah isteri.
“Mengikut peruntukan seksyen sama, tiada perkahwinan yang diakadnikahkan tanpa kebenaran di bawah subseksyen (1) boleh didaftarkan di bawah enakmen ini melainkan jika mahkamah berpuas hati ia adalah sah ikut hukum syarak dan memerintahkan supaya didaftarkan tertakluk kepada Seksyen 124,” jelasnya.
Sementara itu, mengikut Seksyen 124 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2004, jika seseorang lelaki berkahwin lain tanpa kebenaran secara bertulis kepada mahkamah, maka dia sudah melakukan kesalahan.
“Sabit kesalahan, seseorang lelaki itu boleh didenda tidak lebih RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














