fbpx

CBF, AFA berdepan hukuman FIFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INSIDEN pergaduhan penonton mencemarkan aksi Brazil dan Argentina menyebabkan kedua-dua pasukan bakal berdepan hukuman FIFA. - AFP

ZURICH – Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF) dan Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) berkemungkinan akan dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) ekoran insiden membabitkan penyokong ketika aksi kelayakan Piala Dunia Rabu lalu.

Ketika ini, FIFA sudah pun membuka kertas siasatan berhubung kejadian di Stadium Maracana berkenaan yang menyaksikan perlawanan terpaksa ditangguhkan 30 minit ekoran pergaduhan penyokong Argentina dengan pihak berkuasa Brazil.

“FIFA boleh sahkan yang Jawatankuasa Disiplin sudah pun membuka prosiding terhadap CBF dan AFA,” menurut kenyataan yang dibuat badan induk bola sepak dunia itu.

Dalam kenyataan sama, Brazil berpotensi didakwa mengikut Artikel 17 Kod Tatatertib FIFA berkaitan ketenteraman dan keselamatan perlawanan, manakala Argentina boleh didakwa kerana tindakan luar batas penyokongnya hingga mengakibatkan perlawanan tertangguh.

Antara sekatan yang boleh dikenakan adalah denda atau pun perlawanan akan datang terpaksa dilangsungkan tanpa kehadiran penyokong di stadium.

Sebelum ini, kapten Argentina, Lionel Messi menganggap insiden berkenaan sebagai tragedi dan mengecam pihak polis Brazil yang dirakam memukul penyokong menggunakan belantan.

Bagaimanapun, pihak polis mendakwa ada penyokong yang bertindak mencabut kerusi dan membalingnya kepada pihak berkuasa dan padang malah insiden itu turut mendapat campur tangan pemain kedua-dua pasukan bagi menenangkan keadaan.

Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez juga dilihat cuba melompat ke arah polis dan cuba merampas belantan bagi mengelak pihak berkuasa terus memukul penyokong La Albiceleste. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI