GEORGE TOWN – Tabiat suami yang suka menghantar mesej menggunakan emoji senyum berserta ‘love’ terhadap rakan lelakinya di pejabat akhirnya membongkar kisah cinta sejenis yang seterusnya membawa kepada perceraian dalam rumah tangga.
Menurut seorang wanita dikenali sebagai Reena, 45, perkara itu mungkin nampak lucu, tetapi telah memberi kesan kepada emosinya sehingga memaksa dia menuntut penceraian di mahkamah pada tahun lalu.
Katanya, dia nekad untuk bercerai selepas menyedari perbuatan songsang suaminya itu dengan seorang lelaki yang didakwa sebagai anak buah di pejabat.
“Saya sangat sayangkan rumah tangga yang dibina sejak lebih 15 tahun lalu, namun saya tidak boleh melalui keadaan ini.
“Saya menyedari perubahan suami apabila dia sering ‘berchatting’ setiap kali pulang dari kerja dan ia berlarutan hampir setengah tahun.
“Dia langsung tidak menghiraukan anak yang duduk di ruang tamu, malah dia terus masuk ke dalam bilik dalam tempoh yang lama. Malah, hendak bawa anak-anak bercuti atau berjalan di luar pun tidak dengan alasan sibuk bekerja,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.
Menurut Reena lagi, sisi gelap suaminya mula terbongkar apabila dia ternampak lelaki itu menggunakan emoji senyum dan ‘love’ ketika berbual dalam WhatsApp dengan rakan lelaki.
Sementara itu, seorang lagi wanita dikenali sebagai Ayu, 50, berkata, percintaan jarak jauh antara dia dan suaminya yang merupakan pegawai kanan kerajaan selama hampir tiga tahun memaksa dia memutuskan jalan perceraian pada Julai tahun lalu.
“Suami tinggal seorang diri di Kuala Lumpur, manakala anak-anak dan saya tinggal di Kedah. Saya tidak dapat ikut berpindah disebabkan tuntutan kerja selain tiada kekosongan untuk jawatan yang dipegang saya ketika itu.
“Sudah tiga tahun suami bertugas di Kuala Lumpur dan pada mulanya dia kerap pulang ke kampung iaitu setiap seminggu sekali.
“Namun, masuk setengah tahun, dia semakin kurang untuk jumpa anak-anak. Dia hanya bagi alasan banyak kerja pejabat yang perlu diurus selain terpaksa menyelia kemasukan orang baharu” katanya.
Cerita Ayu lagi, perasaannya terhadap si suami mula sangsi apabila lelaki itu semakin jarang menghubungi anak-anak selain kerap mematikan telefon pada waktu malam.
“Saya sedih dan tidak sangka apabila suami yang dahulunya seorang bapa dan suami yang baik serta penyayang boleh berubah sekelip mata apabila sanggup menduakan saya dengan menjalin hubungan sulit dengan wanita di pejabatnya.
“Perbuatannya diketahui semasa saya bersama anak-anak pergi ke rumah sewanya di Kuala Lumpur secara mengejut. Dia bukan sahaja berubah penampilan seperti orang muda, malah saya melihat ada wanita yang datang serta bawanya keluar waktu tengah malam,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! semalam mendedahkan semakin ramai pasangan suami isteri di negara ini berpisah apabila bilangan perceraian meningkat sebanyak 43.1 peratus iaitu daripada 43,936 kes pada 2021 kepada 62,890 kes pada tahun lalu.
Tiga negeri yang mencatatkan peningkatan tertinggi bilangan perceraian orang Islam iaitu Kedah (113.6 peratus), Sabah (94.5 peratus) dan Perlis (83.5 peratus).














