fbpx

Sivaraj cabar Wan Fayhsal kemuka penyelesaian ekonomi negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sivaraj mencabar Wan Fayhsal untuk mengemukakan cadangan alternatif bagi menyelesaikan isu ekonomi yang dihadapi negara ketika ini.

PUTRAJAYA – Bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Sivaraj Chandran mencabar Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal untuk mencadangkan penyelesaian alternatif bagi meyakinkan rakyat dalam menyelesaikan masalah ekonomi dihadapi negara ketika ini.

Kenyataan itu dibuat Sivaraj susulan dakwaan Wan Fayhsal yang mendakwa penyokong bukan Melayu akan meninggalkan Pakatan Harapan (PH) sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal menyelesaikan ekonomi negara.

Sivaraj berkata, setakat ini dia belum melihat sebarang perancangan atau penyelesaian alternatif daripada pihak pembangkang dalam usaha menyelesaikan isu berkenaan.

“Jadi, saya ingin bertanya kepada Wan Fayhsal, jika beliau merasakan Perdana Menteri dan kerajaan tidak menyelesaikan masalah atas faktor tidak cekap mentadbir, apakah perancangan Perikatan Nasional (PN) untuk masyarakat bukan Melayu di negara ini?

“Setakat ini tidak ada belanjawan alternatif atau komitmen daripada pembangkang untuk menyelesaikan masalah-masalah asas rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Jelasnya, rakyat juga sudah muak dengan kenyataan politik seperti itu di mana retorik agama dan kaum telah melebihi elemen untuk menyelesaikan masalah dihadapi ketika ini.

“Dalam konteks ini, Wan Fayhsal perlu arif bahawa masalah dihadapi negara turut disebabkan faktor geopolitik dan global yang mana telah memberi kesan kepada Asia dan juga dunia.

“Maka saya cabar beliau untuk mencadangkan kaedah alternatif bagi meyakinkan rakyat dan masyarakat bukan Melayu bahawa PN mempunyai penyelesaian konkrit serta bukan sekadar menunggang populariti dengan memainkan isu agama dan kaum,” tegasnya.

Pada masa sama, Sivaraj juga tidak menolak dakwaan bahawa rakyat sedang berdepan kebimbangan dengan kos sara hidup tinggi termasuk keadaan tukaran mata wang asing yang meningkat.

“Saya yakin kerajaan sedang mengusahakan strategi untuk menstabilkan keadaan dengan sebaik mungkin,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI