fbpx

Dikecam sertai konvoi, Ini jawapan Beto Kusyairy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beto Kusyairy mengakui  belum dapat mengulas secara terperinci insiden itu kerana kes berkenaan masih dalam siasatan polis.

KUALA LUMPUR – Aktor terkenal, Beto Kusyairy terkilan dengan sikap segelintir netizen yang bertindak mengecam dirinya selepas terbabit dalam kemalangan ketika menyertai  konvoi solidariti terhadap rakyat Palestin, baru-baru ini.

Katanya, netizen turut mempertikaikan penganjuran Solidariti Wings Motogang apabila penunggang motosikal berkonvoi dari Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak dalam keadaan hujan untuk mengadakan solat hajat di Masjid Negeri.

“Sejujurnya saya kagum dengan semangat rakyat Malaysia yang bersatu menyuarakan isu kemanusiaan di Gaza sehingga mendapat perhatian dunia.

“Namun, dalam kita rancak menyuarakan bantahan terhadap kekejaman Israel terhadap saudara seagama, masih ada yang seolah-olah tidak memahami cara kita menunjukkan solidariti.

“Tergamak pihak terbabit mengutuk konvoi anjuran kelab motor yang diketuai vokalis Wings, Datuk Awie walaupun tahu tujuan program berkenaan hingga mencetuskan tanggapan liar.

“Mereka mempersoalkan kenapa ikut konvoi dalam hujan, tanya kenapa solat hajat di Ipoh, nak tunjuk kepada Allah atau manusia?” katanya ketika ditemui pada malam gala filem MagiK, baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar Nur Kusyairy Zakuan Osman itu mengakui  belum dapat mengulas secara terperinci insiden itu kerana kes berkenaan masih dalam siasatan polis.

“Orang tak tahu cerita sebenar dan kita pula tak boleh jelaskan semua perincian kepada umum atas nasihat pihak berwajib, tapi daripada situ boleh tengok apabila dah toksik minda, susah nak cakap apa,” ujarnya.

Dalam kejadian di Kilometer 349 Lebuh Raya Utara Selatan, arah utara berhampiran Ladang Bikam pada 13 November lalu itu, Beto cedera ringan manakala seorang lagi peserta konvoi dilaporkan kritikal.

Begitupun, Beto menzahirkan rasa syukur apabila rakannya itu kini sudah sedar selain menunjukkan perkembangan positif.

“Waktu kejadian saya tak dapat mengelak motor hadapan yang jatuh lebih awal membuatkan saya dihempap jentera sendiri seberat 400 kilogram (kg).

“Ketika itu saya hanya fikirkan keadaan kawan di hadapan tetapi Alhamdulillah saya tak mengalami kecederaan teruk walaupun awalnya sangka ada bahagian yang patah.

“Cuma, saya bimbangkan keadaan seorang lagi peserta konvoi yang parah dan tidak sedarkan diri hampir seminggu. Syukur, semalam dia sudah buka mata dan boleh duduk,” katanya.

Biarpun belum sembuh sepenuhnya, Beto yang juga tunjang utama filem MagiK terbitan 42nd Pictures Sdn. Bhd itu tetap hadir memberikan sokongan padu.

Filem yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 30 November itu turut dibintangi Nadia Aqilah, Nam Ron, Ruminah Sidek, Roy Azman, Kamarul Eqifshah dan bintang cilik, Qisya Hairulzain. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI