fbpx
BELLA mengajak orang ramai menunaikan solat hajat dan doa selamat buat Syed Saddiq esok

Bella Astillah ajak solat hajat untuk Syed Saddiq esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

 

PETALING JAYA – Pelakon Bella Astillah mengajak orang ramai menunaikan solat hajat esok bagi mendoakan prosiding keputusan rayuan akhir kes mahkamah melibatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq yang akan berlangsung pada 30 Jun depan berjalan lancar.

Menurut Bella, 32, kehadiran orang ramai sangat dialu-alukan pada hari tersebut yang merupakan salah satu ikhtiar dan usaha agar Syed Saddiq mendapat keadilan selayaknya.

“Sebenarnya saya nak minta jasa baik semua untuk sama-sama mendoakan kes Syed Saddiq yang akan berlangsung pada 30 Jun ini, tidak lama saja lagi.

“Tapi sebelum itu, saya ingin berbesar hati menjemput ramai orang, yang mengenali untuk sama-sama menjayakan majlis solat hajat dan juga doa selamat untuk Syed Saddiq di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra di Kelana Jaya.

“Kepada yang bukan Muslim pun boleh datang juga selepas pukul 8.30 malam. Kepada yang akan hadir, datang pada pukul 7 malam, boleh solat maghrib bersama-sama, insya-Allah,” katanya dalam sebuah hantaran video.

Bella menambah, dia teruja untuk bertemu dengan setiap individu yang akan hadir pada majlis tersebut.

“Tak sabar nak jumpa semua. Harap boleh datang ramai-ramai.

“Kita jumpa nanti, insya-Allah,” katanya lagi.

Menerusi hantaran sama, dia berharap tunangnya itu diberikan kekuatan dalam melalui proses mahkamah tersebut.

“Semoga Allah SWT mengurniakan ketenangan, kekuatan dan keadilan buatnya.

“Doa dan kehadiran anda semua adalah tanda kasih serta sokongan,” jelasnya.

Keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq daripada tuduhan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) yang akan diputuskan Mahkamah Persekutuan pada 30 Jun depan.

Sebelum itu, pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan melepas serta membebaskan Syed Saddiq, selepas membenarkan rayuan beliau untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.

Sehari selepas itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada ketika itu, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dana Armada berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun dengan sebatan dan boleh didenda.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bekas Presiden Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi kesalahan ini, dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Terdahulu, Syed Saddiq dan Bella mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu, pada majlis yang dihadiri ahli keluarga serta sahabat rapat.

Namun, Bella mengakui masih belum membuat persiapan rapi majlis pernikahan kerana mahu memberi tumpuan terhadap urusan penting membabitkan Syed Saddiq, 34, terlebih dahulu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN