fbpx

Waspada skim pelaburan janji untung 51 kali ganda guna nama MIDA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis menerima sebanyak 28 laporan polis dari seluruh negara berhubung skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan keuntungan sehingga 51 kali ganda dalam tempoh tiga hingga empat jam menggunakan nama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan sedang dijalankan susulan laporan akhbar tempatan berhubung mangsa seorang wanita yang kerugian RM585,700 di Melaka akibat pelaburan itu.

“Sindiket penipuan ini mula beroperasi sekitar bulan Oktober 2022 menggunakan laman sosial Facebook, WhatsApp, Telegram dan TikTok.

“Sindiket ini menawarkan pelaburan saham, mata wang digital dan dana geran menggunakan nama MIDA. Lima pakej pelaburan ditawarkan dari serendah RM300 bagi pakej basic sehinggalah RM2,000 bagi pakej VIP,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ, di sini hari ini.

Ramli berkata, sehingga kini 28 laporan polis diterima dari seluruh negara dengan kerugian RM1,242,839.34 dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pihak MIDA pada 9 November lalu juga telah mengeluarkan amaran berkenaan penipuan pelaburan yang menggunakan nama agensi tersebut melalui laman Facebook rasmi mereka,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI