fbpx

Kali pertama bawa, dah kantoi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sasikala (tengah) menunjukkan syabu yang dirampas pihaknya pada sidang akhbar hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

SHAH ALAM – Dua ‘transporter’ tidak sempat mengedar barang larangan itu ke Kedah apabila mereka dicekup di Bukit Puchong, di sini, baru-baru ini.

Dalam kejadian pukul 7.30 malam, 12 November lalu itu, suspek berusia 32 dan 36 tahun ditahan bersama syabu bernilai RM6.32 juta yang disorokkan dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, ketika ditahan, dua suspek yang bekerja sebagai mekanik dan buruh itu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.

Hasil soal siasat, mereka mengaku terdapat dadah di dalam but Ford Ranger yang diletakkan kira-kira 15 meter dari lokasi tangkapan dibuat.

“Pemeriksaan lanjut menemui lapan bungkusan guni di dalamnya terdapat 190 plastik label teh Cina dipercayai dadah seberat 19.1 kilogram (kg).

“Dadah itu diperoleh dari negara jiran dan dibawa dari Pantai Timur ke Lembah Klang untuk transit sebelum dihantar ke Kedah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Sasikala menjelaskan, nilai pasaran bagi satu kilogram syabu adalah RM30,000. Turut disita dua kenderaan tersebut.

Suspek menerima upah RM5,000 hingga RM7,000 seorang bagi setiap penghantaran.

“Soal siasat mendapati mereka mengaku ini kali pertama melakukan penghantaran, namun berdasarkan rekod jenayah, kita percaya lebih daripada sekali.

“Ujian air kencing mendapati mereka positif methamphetamine dan mempunyai rekod kes jenayah serta dadah,” katanya.

Polis tidak menolak kemungkinan wujud rangkaian sindiket tempatan dan luar negara berdasarkan modus operandi yang digunakan mereka.

Kedua-dua suspek ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI