fbpx

Syarikat didakwa jual diesel kepada syarikat tidak berlesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kian Yew didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan menjual 10,920 liter minyak diesel kepada sebuah syarikat yang tidak memiliki kelulusan daripada Pengawal Bekalan tahun lalu. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

IPOH – Sebuah syarikat pemborong bahan bakar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjual 10,920 liter minyak diesel kepada sebuah syarikat yang tidak memiliki kelulusan daripada Pengawal Bekalan, tahun lalu.

Fullyee Petroleum PLT yang diwakili rakan kongsinya, Yip Kian Yew, 54, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Mengikut pertuduhan, Fullyee yang juga pemegang lesen borong (No.Lesen PB08000084) didapati telah melanggar Peraturan 9(2) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu menjual barang kawalan berjadual iaitu 10,920 liter minyak diesel kepada Syarikat K2 Bitumen Sdn. Bhd. yang tidak mempunyai lesen atau kelulusan bertulis daripada Pengawal Bekalan.

Kesalahan itu dilakukan di K2 Bitumen Sdn. Bhd. di Lot 332577 (Plot 3), PT 9749 Taman Perindustrian Tungzen, Kampung Kepayang di dalam daerah Batu Gajah antara pukul 8 pagi hingga 5 petang, 8 November 2022.

Sehubungan itu, syarikat tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21 (1) peraturan yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (2) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM5 juta.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Suhana Mohd. dan Hasyutantee Khalil manakala syarikat berkenaan diwakili peguam, Datuk Mior Faridalathrash Wahid.

Mahkamah menetapkan 10 Januari 2024 sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI