fbpx

Pengadil lapor polis, diserang pemain hingga cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar kekecohan ketika perlawanan bola sepak Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Sukan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA 2023) di daerah Manjung, yang tular dalam media sosial.

LUMUT – Gara-gara tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan, seorang pengadil bola sepak cedera dipercayai selepas diserang pemain dalam satu kejohanan bola sepak yang diadakan di daerah Manjung kelmarin.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Sukan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA 2023) melibatkan 48 pasukan dari seluruh negara yang berlangsung selama tiga hari di daerah Manjung, berakhir semalam.

Kekecohan dipercayai terjadi ketika perlawanan di peringkat suku akhir di sebuah padang di Lekir, salah satu daripada empat venue bagi kejohanan tersebut.

Video mengenai insiden tersebut tular dalam media sosial sejak malam tadi, menunjukkan pengadil dikejar pemain sehingga ke khemah pasukan, sebelum beberapa orang di situ cuba menenangkan keadaan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, pihaknya menjalankan terhadap insiden tersebut selepas menerima laporan daripada pengadil berkenaan.

“Dipercayai kekecohan berlaku selepas pemain daripada salah satu pasukan bertanding tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan.

“Akibat insiden itu, mangsa mendapatkan rawatan kecederaan tisu lembut di Hospital Seri Manjung,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, polis sedang mengenal pasti individu terlibat dan kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Dalam kejohanan itu, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) selaku tuan rumah menggondol Piala Menteri KPKT selepas menewaskan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dengan jaringan 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium MPM, semalam.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bolasepak Daerah Manjung, Azman Noh, kesal dengan tindakan tidak wajar pemain terlibat kerana pihaknya tidak mahu budaya samseng dibawa dalam perlawanan bola sepak.

“Kita kena ingat, keputusan pengadil adalah muktamad, jadi segala bantahan boleh dikemukakan di dalam padang sama ada semasa permainan atau di luar kejohanan, bukannya melakukan tindakan sehingga mengundang masalah kepada kedua-dua pihak,” ujarnya.

Untuk rekod, ini adalah insiden kedua melibatkan kekecohan ketika kejohanan bola sepak di Perak yang tular dalam media sosial.

Pada 14 September lalu, kejohanan liga tempatan yang berlangsung di Padang Taman Dr. Seenivasagam, Ipoh, kecoh selepas jurulatih dan pemain yang tidak berpuas hati keputusan perlawanan mengejar pengadil pertandingan, bagaimanapun tiada kecederaan dilaporkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI