fbpx

Maklum kepada APMM jika turun ke laut pada musim tengkujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota APMM Kelantan memberi peringatan mengenai ombak besar pada musim tengkujuh kepada orang awam di Pantai Geting, Tumpat baru-baru ini.

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan mengingatkan kepada semua komuniti maritim agar memaklumkan pergerakan mereka kepada agensi tersebut atau ahli keluarga sekiranya turun ke laut ketika musim tengkujuh.

Pengarah APMM Kelantan, Kapten Maritim Syed Nor Adli Syed Abd. Rahman berkata, nelayan juga dinasihatkan agar membuat perincian masa dan lokasi ketika berada laut.

Menurutnya, selain itu, alat komunikasi yang dibawa perlu berfungsi dengan baik bagi memudahkan perhubungan sekiranya menghadapi sebarang masalah ketika di laut.

“Semua komuniti maritim seperti nelayan, perkapalan, industri cari gali minyak dan penggemar aktiviti rekreasi laut atau di pesisir pantai khusus yang berada di kawasan Pantai Timur agar meningkatkan tahap kewaspadaan ketika musim Monsun Timur Laut.

“Ramalan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menunjukkan amaran angin kencang bertiup pada kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ketinggian ombak mencecah 3.5 meter sedang melanda negara,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Syed Nor Adli memberitahu, hujan lebat berterusan diramalkan berlaku sehingga Mac tahun depan dengan fenomena air pasang besar turut diramalkan bermula 19 November hingga 31 Disember.

Menurutnya, situasi itu sekali gus meningkatkan risiko kepada semua komuniti maritim.

“Justeru, APMM Kelantan telah melaksanakan pelbagai aktiviti seperti perjumpaan dengan komuniti dan rondaan pesisir laut digerakkan daripada pantai Tok Bali sehingga pantai Sri Tujuh untuk memberi kesedaran mengenai keselamatan di laut.

“Komuniti maritim diingatkan supaya sentiasa menyemak ramalan kaji cuaca melalui aplikasi myCuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia selain memakai jaket keselamatan dan membawa alat pengesan sekiranya berhasrat atau perlu untuk ke laut,” ujarnya.

Tambahnya, cuti pegawai dan anggota APMM Kelantan turut dibekukan untuk memaksimumkan bantuan sekiranya diperlukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI