fbpx

Mahkamah: Peguam ditegur buat kenyataan mengelirukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan sebentar tadi menegur tindakan seorang peguam yang mengeluarkan kenyataan memutar belit dan mengelirukan ketika menyentuh pendengaran petisyen seorang peguam dan anaknya yang mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan, kenyataan Yusfarizal Yussoff menyentuh sentimen yang tidak sepatutnya dibincangkan dalam khalayak umum ketika prosiding itu masih didengar.

Yusfarizal mewakili Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) selaku pemerhati pada prosiding tersebut.

Beliau yang mengetuai panel sembilan hakim sedang mendengar petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dalam usaha mengisytiharkan 20 peruntukan kesalahan dalam enakmen itu, terbatal dan tidak sah.

Beliau berkata, mahkamah mengambil maklum kenyataan peguam itu yang antara lain menyatakan prosiding tersebut adalah titik penyudah sebelum kewibawaan Mahkamah Syariah terkubur.

“Kami mengambil maklum dan membuat pemerhatian kerana isu yang dibangkitkan dalam pendengaran ini telah diperkatakan oleh ramai pihak namun ia merupakan versi yang telah diputar belit.

“Isu dalam pendengaran petisyen itu bukan melemahkan agama Islam dan Mahkamah Syariah, tetapi ia adalah berhubung kompetensi kerajaan negeri dalam menggubal undang-undang. Kenyataan bahawa Mahkamah Syariah akan berkubur di Malaysia adalah tidak betul.

“Tanggapan itu salah kerana pendengaran hari ini hanya bertujuan mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, bukan merendah-rendahkan enakmen dan Mahkamah Syariah,” ujar Hakim Tengku Maimun ketika memulakan sidang mendengar petisyen itu.

Ketua Hakim Negara menyatakan demikian selepas peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili kedua-dua pempetisyen membangkitkan isu berhubung kenyataan Yusfarizal yang menyentuh pendengaran petisyen itu.

Pada prosiding 17 Ogos lalu, panel ini sudah mengingatkan semua pihak bahawa petisyen berkenaan hanya berkaitan pentafsiran perkataan-perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan dan tiada kena mengena dengan doktrin Islam.

“Oleh yang demikian tidak timbul persoalan sama ada pihak pempetisyen mahupun mahkamah ini ingin menidakkan atau merendahkan kedudukan agama Islam di negara ini,” ujar Ketua Hakim Negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI