fbpx

Isu Saham Renong: Dr. Mahathir, 2 pihak mohon batal saman Halim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Halim dan Mahathir

KUALA LUMPUR – Tiga pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir memohon untuk membatalkan saman seorang ahli perniagaan Tan Sri Halim Saad yang menuntut pampasan berhubung kerugian dialaminya selepas pengambilalihan saham Renong Bhd. dan United Engineers Malaysia Berhad (UEM) oleh kerajaan, hampir 23 tahun lepas.

Notis permohonan oleh Dr. Mahathir, bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Kerajaan Malaysia selaku defendan difailkan Peguam Kanan Persekutuan di Mahkamah Tinggi pada 16 November lalu.

“Tuntutan plaintif (Halim) adalah remeh, menyusahkan serta penyalagunaan proses mahkamah. Semua prosiding terhadap defendan-defendan perlu digantung sehingga keputusan permohonan ini,” kata tiga defendan dalam notis itu.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, Halim berkata beliau berniat membuat tawaran am bagi menswastakan UEM sebagai anak syarikat Renong sekali gus membolehkannya memperoleh kawalan serta milikan penuh ke atas UEM.

Bagaimanapun, plaintif mendakwa beliau diarahkan Dr. Mahathir dan Nor Mohamed supaya tidak meneruskan tawaran am itu kerana kerajaan ingin mengambil semua saham dalam UEM melalui entiti yang ditetapkan iaitu Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) atau pihak yang akan dicalonkan Khazanah.

Halim mendakwa Khazanah telah memperoleh keseluruhan saham UEM melalui anak syarikatnya, Danasaham Sdn Bhd sekali gus memperoleh kawalan terhadap UEM yang ketika itu memiliki 32.6 peratus saham Renong.

Oleh itu, Halim, antaranya, memohon deklarasi dan pampasan berhubung pengambilan saham secara paksa oleh kerajaan bagi tempoh antara Julai dan Oktober 2001 selain memohon deklarasi bahawa beliau pemegang saham Renong.

Sementara itu, dalam pernyataan pembelaan pula tiga defendan itu menafikan telah mengambil alih pemegangan saham tersebut kerana ia dipersetujui oleh Halim sendiri dengan pampasan sebanyak RM165 juta.

“Pengambilalihan oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dibuat dengan persetujuan plaintif (Halim) sendiri. Hal ini diakui oleh plaintif melalui surat plaintif kepada Khazanah bertarikh 13 Mei 2003.

“Lanjutan daripada surat tersebut, plaintif telah dibayar dengan pampasan berjumlah RM165 juta oleh Khazanah yang dibuat dalam dua bahagian iaitu bayaran pertama sebanyak RM45 juta pada 22 Mei 2003 dan bayaran kedua sebanyak RM120 juta pada 26 Mei 2003,” kata tiga defendan itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI