fbpx

15 orang tertipu pelaburan tidak wujud setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 kes pelaburan tidak wujud disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) setiap hari sepanjang tempoh Januari hingga Oktober 2023.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, angka itu berdasarkan 4,435 kertas siasatan kes pelaburan tidak wujud yang telah dibuka melibatkan nilai kerugian RM364,537,421.21.

Katanya nilai kerugian itu adalah bersamaan dengan 20 peratus daripada nilai kerugian keseluruhan kes-kes jenayah komersil (RM1,824,715,080.52) yang direkodkan pada tahun ini.

“Kes-kes pelaburan tidak wujud dikategorikan kepada dua modus operandi utama iaitu pelaburan secara dalam talian (online) dan pelaburan bersemuka.

“Pelaburan online merujuk kepada kaedah pelaburan yang menggunakan media sosial seperti Telegram, WhatsApp, Facebook, Instagram dan sebagainya untuk mencari pelabur manakala secara bersemuka pula pelabur akan berjumpa dan berurusan secara terus dengan agen atau wakil syarikat,” katanya ketika sidang akhbar di Menara KPJ, Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Ramli berkata baru-baru ini Global Anti-Scam Organization (GA-SO), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dimaklumkan berkenaan kewujudan kes penipuan ‘Love Investment Scam’.

“Modus operandi digunakan hampir serupa dengan penipuan ‘Love Scam’ namun bagi ‘Love Investment Scam’, suspek tidak meminta wang langsung dari mangsa.

“Mereka akan memainkan peranan sebagai mentor dan mengajar mangsa perihal sistem pelaburan. Apabila mendapat kepercayaan barulah mereka akan meminta wang daripada mangsa,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, jumlah sebenar individu yang telah menjadi mangsa scam tersebut masih belum dikenal pasti secara terperinci.

Dalam pada itu, Ramli berkata PDRM mendapati wujudnya trend pendaftaran syarikat dan pembukaan akaun bank atas nama syarikat dengan tujuan untuk dijadikan keldai akaun.

“Pembukaan akaun bank atas nama syarikat menjadi pilihan kerana ianya membolehkan transaksi kewangan dilakukan secara lebih kerap dan melibatkan amaun yang lebih besar.

“Setakat ini, PDRM telah mengesan sejumlah 86 syarikat dan 70 perniagaan yang didaftarkan untuk tujuan sebegini,” ujarnya.

Justeru itu katanya, PDRM mencadangkan agar prosedur serta syarat pendaftaran syarikat dan perniagaan diperhalusi dan diperketatkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI