fbpx

Si lasak idam watak berhijab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUDAH bergelar isteri dan ibu anak satu, keghairahan Farali Khan terhadap lakonan aksi lasak tidak pernah pudar.

SERING menjayakan watak lasak dalam beberapa naskhah filem aksi, pelakon Farali Khan mengakui belum pernah puas. Dia malah ‘ketagih’ untuk terus berkarya dalam filem bergenre sebegitu.

Kecederaan yang pernah dialaminya seperti patah kedua-dua belah kaki dan rahang, sedikit pun membuatkan pelakon berusia 34 tahun itu trauma dan memangkah terus untuk melakonkan aksi lagak ngeri.

Bermula dengan filem aksi pertamanya, Kalla: Hidup Atau Mati pada 2018, Farali atau nama lengkapnya Norfara Ali Dad Khan terus tampil ‘perkasa’ memainkan aksi lasak seperti menerusi The Assistant, VII XII, Polis Evo 3 dan terbaharu, War On Terror: KL Anarki.

Biarpun tahu risiko yang bakal dialaminya, namun disebabkan minat dan kepuasan, Farali sanggup berdepan dengan kesakitan dan kecederaan. Baginya, itu lumrah bergelar pelakon aksi lasak.

“Saya tidak puas lagi sebenarnya. Sebelum ini saya pernah patah kaki dan rahang. Tapi kejadian itu tidak membuatkan saya rasa takut untuk beraksi lagi.

“Sebab saya sendiri tahu, melakonkan babak aksi memang ada risikonya sendiri. Untuk melakukan yang terbaik, saya kena korbankan fizikal,” ujar adik kepada aktor, Miller Khan itu.

Farali berpendapat, kecederaan yang dialami boleh sembuh dan yang penting, kepuasan dapat melakukan aksi lasak, yang tidak mampu dilakonkan ramai pelakon wanita lain.

“Ini adalah minat saya (melakonkan aksi lasak). Jadi saya tidak kisah jika mengalami kecederaan sebab boleh sembuh semula.

“Kalau saya tidak jadi pelakon, mungkin hari ini saya sudah bergelar seorang atlet tinju,” jelasnya.

Begitu pun, pelakon yang memulakan kerjaya seninya di Indonesia itu masih menitikberatkan aspek keselamatan, agar risiko kecederaan serius dapat dielakkan.

Kata Farali, sebelum melakukan babak aksi, persediaan rapi dan latihan perlu dilakukan supaya diri berada dalam keadaan lebih bersedia.

“Kecederaan akan berlaku jika kita tidak berhati-hati. Sebab itu, sebelum berlakon dalam satu-satu babak aksi, saya akan buat rujukan dan penelitian terlebih dahulu.

SELAIN berlakon, Farali juga seorang penulis skrip untuk beberapa buah naskhah filem pendek.

“Orang perempuan kulitnya berbeza dengan lelaki. Lebih halus dan senang tercalar.

“Sekuat mana pun saya, kulit tidak boleh menipu.

“Kita boleh kurangkan risiko kecederaan dengan melakukan persediaan awal seperti lakukan senaman ringan dan latihan yang mencukupi,” kata pelakon kelahiran Johor Bahru, Johor itu.

Bercakap tentang penerimaan keluarga tentang minatnya dalam melakonkan babak aksi, Farali yang juga ibu kepada seorang cahaya mata itu memberitahu, awalnya mereka bimbang jika terjadi perkara tidak diingini ke atasnya.

Namun, selepas tampil dengan cemerlang menerusi filem Kalla: Hidup Atau Mati, keluarga kini lebih yakin, malah tidak menyangka anak perempuan mereka boleh melakukan babak lasak tanpa bantuan pelakon lagak ngeri.

“Awalnya keluarga memang risau memandangkan saya seorang perempuan. Tapi selepas filem aksi pertama saya iaitu Kalla: Hidup Atau Mati, mereka lebih yakin dengan kemampuan saya dan tidak lagi risau seperti sebelum ini,” ujarnya.

Farali juga tidak menolak untuk melakonkan watak di luar kebiasaannya seperti menjadi wanita kampung.

Cuma, besar harapan Farali jika suatu hari nanti dia diberikan watak seorang wanita berhijab dan menutup aurat untuk naskhah seterusnya.

“Saya boleh saja melakonkan watak selain daripada karakter lasak. Cuma daripada segi minat dan kepuasan, saya lebih sukakan filem aksi.

“Harap penonton tidak bosan. Saya juga menantikan watak yang belum pernah saya bawakan, iaitu seorang wanita kampung dan bertudung. Kenapa tidak?

“Sebagai pelakon, sudah tentu saya akan terima. Kalau dapat watak aksi yang memerlukan saya bertudung, itu lagi bagus,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI