fbpx
FARAH mencabar diri melakukan aktiviti rock climbing.

‘Setiap langkah di dinding batu simbol kejayaan diri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENDAKI kawasan bebatuan di tebing gunung boleh dikatakan menjadi cinta baharu wanita berusia 25 tahun itu.

Selama ini, dia memang seorang yang gemar melakukan aktiviti yang mampu memicu adrenalin, cuma baru-baru ini Farah Wardatie Hamidon mencabar diri melakukan aktiviti rock climbing atau panjat dinding batu.

Katanya, aktiviti itu bukan sekadar sukan lasak tetapi satu perjalanan peribadi untuk keluar dari zon selesa sekali gus mengawal rasa takut pada ketinggian.

“Saya memang suka mencuba sesuatu yang mencabar diri dari segi mental dan keberanian, selain pada masa sama berpeluang menikmati keindahan alam dari sudut pandang berbeza.

“Bagi saya, setiap langkah di dinding batu itu adalah simbol kejayaan diri walaupun susah, namun kita tetap boleh capai (tiba) ke puncak dengan usaha dan fokus,” kongsinya kepada CitaRasa baru-baru ini.

Pertama kali mencuba aktiviti itu di Via Ferrata Paya Gunung, Jerantut, Pahang pada 11 Januari lalu menjadi pengalaman yang tidak dapat dilupakannya.

Perasaan bercampur baur antara takut dan teruja menguasai diri ketika awal mencuba aktiviti itu sebelum semuanya dapat diatasi dengan baik.

“Kalau diikutkan, saya tiada keberanian untuk mencubanya tetapi atas dasar sokongan daripada kawan, saya melakukannya untuk mencari pengalaman.

“Bila mula panjat, setiap langkah rasa mencabar, tangan menggenggam kuat, kaki mencari tapak yang sesuai, manakala jantung pula berdegup laju.

Dengan sokongan seorang rakan, aktiviti-aktiviti mencabar dapat dilunaskan.

“Setelah menghampiri separuh pendakian dan melihat pemandangan dari atas memang sangat cantik dan mengujakan sekali gus membantu untuk berasa lebih yakin bagi menamatkan pendakian.

“Paling menyeronokkan apabila sudah berada di puncak, hilang rasa penat, tenang, bangga dan sangat berpuas hati dengan pencapaian diri sendiri,” ujarnya.

Sebagai pencinta sukan lasak, dia sebelum ini pernah melakukan beberapa aktiviti seperti water abseiling dengan ketinggian 40 meter, denai kembara, meneroka gua, flying fox dan abseiling sekitar Pahang.

“Pada mulanya saya memang berminat dengan aktiviti ekstrem tapi tiada kawan. Selepas berjumpa dengan seorang kawan, Farah Fazieha, kami semakin banyak melakukan aktiviti berkaitan dengan alam semula jadi dan meneroka lebih banyak aktiviti menarik. Memandangkan dia mempunyai lesen guide (pemandu rekreasi), jadi dia tahu semua aspek keselamatan.

“Rock climbing ini pertama kali saya cuba tetapi sebelum ini kebiasaannya saya bersama kawan-kawan hanya melakukan aktiviti panjat tebing (wall climbing) di Bandar Lama, Jerantut setiap kali balik kerja,” kongsinya.

Bercerita cabaran rock climbing, katanya aktiviti panjat batu bukan hanya melihatkan soal ketinggian semata-mata, sebaliknya lebih kepada keupayaan mengawal diri dan mengatasi rasa takut.

Kurang keyakinan dan keletihan mampu menjadi penghalang terutama saat berdepan cabaran melakukan aktiviti lasak sebegitu.

“Ada ketika tangan terasa sakit dan sukar untuk memijak kerana permukaan yang tidak rata sekali gus membuatkan tubuh berasa cepat letih.

“Namun, sesiapa yang mampu mengawal mental dan emosi pasti sampai ke puncak dan menyempurnakan pendakian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN