fbpx

Bersihkan sendiri kawasan rumah, jangan harapkan PBT saja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Md. Norhalim (kiri) pada program gotong-royong di Taman Orked, Kluang hari ini.

KLUANG – Penduduk taman perumahan dan kampung diharapkan tidak menunggu pihak berkuasa tempatan (PBT) atau agensi kerajaan untuk melancarkan gerakan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes kerana usaha ini boleh dilaksanakan sendiri.

Ketua Whip Majlis Perbandaran Kluang (MPK) Md Norhalim Md. Amin berkata, dengan meluangkan masa hanya kira-kira 30 minit sahaja, setiap kawasan perumahan boleh dibersihkan daripada mempunyai bahan yang mampu menakung air seterusnya menghindarkan kawasan pembiakan nyamuk aedes.

Katanya, bagi PBT, pihaknya akan memainkan peranan membantu menyediakan kemudahan untuk usaha pembersihan ini selain mengenal pasti kawasan perparitan berkemungkinan tersumbat atau pecah yang menyebabkan air bertakung sebelum diambil tindakan sewajarnya.

“Berikutan hujan hampir setiap hari ketika ini, potensi besar pembiakan nyamuk aedes adalah tinggi apabila terdapatnya takungan air tanpa disedari daripada sekecil-kecil sampah termasuk tanaman seperti pisang.

“Oleh yang demikian, penduduk perlu memainkan peranan dengan tidak membiarkan apa sahaja yang boleh menakung air di kawasan penempatan masing-masing tanpa memerlukan masa panjang untuk melakukannya,” katanya

Md. Norhalim berkata demikian ketika ditemui pada Program Gotong-Royong di Taman Orked dekat sini hari ini.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Daerah Kluang, Dr. Linayanti Rosli berkata, pemilihan Taman Orked untuk program gotong-royong hari ini berikutan terdapat tiga kes demam denggi dilaporkan di taman perumahan ini pada minggu ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI