fbpx

Piala Mirnawan medan bentuk skuad Piala Dunia Remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUBAHAN (dua dari kiri) percaya Piala Mirnawan yang bermula hari ini hingga Sabtu, merupakan medan terbaik untuk mencungkil bakat-bakat hoki baharu.

KUALA LUMPUR – Kejohanan Hoki Piala Mirnawan memasuki edisi ke­dua dengan sasaran mencungkil bakat-bakat baharu dalam usaha membentuk skuad terbaik bagi menghadapi saingan Piala Dunia Remaja pada masa hadapan.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Seri Su­bahan Kamal berkata, kejohanan itu yang merupakan sebahagian daripada Program Pembangunan Hoki Nasional (NHDP) adalah medan terbaik bagi memberi pendedahan kepada pemain-pemain di peringkat akar umbi.

Justeru, pemain-pemain yang dilihat berbakat akan dikumpul bersama untuk tempoh beberapa tahun dan bakal diserapkan dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi kejohanan Piala Dunia Remaja akan datang.

“Program NHDP memang sudah adakan banyak aktiviti di peringkat akar umbi. Jawatankuasa NHDP anggap perlu adakan kejohanan bagi memberi peluang kepada pemain untuk merasai pengalaman bermain dengan pasukan luar negara.

“Kebanyakan pemain dalam saingan Piala Mirnawan berusia lingkungan 16 tahun. Piala Dunia Remaja setiap dua tahun sekali, jadi cukup masa untuk kita gilap bakat mereka bagi saingan Piala Dunia Remaja nanti.

“Ini adalah penganjuran kedua Piala Mirnawan, jadi diharapkan program ini akan berterusan untuk kita cungkil bakat pemain-pemain muda,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Piala Mirnawan 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Bagi edisi 2023 yang bermula esok hingga 25 November ini, dua kategori dipertandingkan iaitu lelaki dan wanita bawah 17 tahun melibatkan lima pasukan lelaki serta enam skuad wanita.

Malaysia menghantar dua pa­sukan dalam setiap kategori iaitu Speedy Tigers A dan B ber­saing dalam kategori lelaki dengan Australia, Afrika Selatan dan India, manakala Speedy Tigress A dan B bagi acara wanita bersama Australia, Jepun, Korea Selatan serta India.

Dalam perkembangan lain, Su­bahan turut meletakkan sasaran layak ke pusingan suku akhir kepada skuad hoki remaja kebangsaan yang akan menggalas misi negara pada Piala Dunia Remaja 2023 di Kuala Lumpur bulan depan.

“Edisi terakhir kita tamatkan saingan di kedudukan kelapan, jadi kali ini harap pencapaian lebih baik daripada itu. Jika tanya saya, sasaran kali ini adalah layak ke pusingan seterusnya, iaitu suku akhir,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI