fbpx

Siasat pelaku termasuk sindiket buang sisa minyak di Kapar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Nazmi (empat dari kiri) melihat tompokan sisa minyak hitam di tapak lokasi tersebut. Foto oleh SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

KLANG – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) menjalankan siasatan lanjut termasuk penglibatan sindiket berhubung pembuangan sisa minyak hitam di sebuah kawasan perindustrian Kapar di sini.

Sisa minyak hitam itu didapati dibuang secara merata-rata dalam sebuah tapak berkeluasan 9.7 hektar di kawasan tersebut.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, siasatan awal mendapati perlakuan tersebut tidak dilakukan pemilik tanah tersebut.

Bagaimanapun katanya, notis arahan telah dikeluarkan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dengan mengarahkan pemilik tanah berkenaan supaya melakukan kerja-kerja pembersihan yang dijangka siap hari ini.

Selain itu, pelupusan buangan perlu dilakukan ke premis yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar dalam kadar segera.

“Kita juga tahu banyak kejadian ini disyaki melibatkan sindiket-sindiket yang bukan kecil dan memerlukan tindakan bersepadu. Kita bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan polis dalam pastikan apabila turun (ke sesuatu lokasi kejadian) dapat diambil tindakan sewajarnya kepada pelaku.

“Sebab, saya boleh bayangkan dengan bau sebegini untuk penduduk memang satu perkara yang tidak baik untuk kesihatan,” katanya selepas meninjau tapak pembuangan sisa haram itu, hari ini.

Kosmo! pada 1 November lalu melaporkan lebih 3,000 penduduk di sekitar Bukit Kapar di sini hidup dalam tertekan apabila terpaksa menghidu bau busuk dan menghirup debu hitam sejak sebulan lalu dipercayai akibat pembuangan pembuangan sisa industri berhampiran penempatan mereka.

Pencemaran itu dikatakan berlaku susulan ketiadaan pagar yang menutup tapak kawasan tersebut.

Nik Nazmi turut memberitahu, isu pencemaran tersebut juga pernah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kapar, Dr. Halimah Ali dalam Dewan Rakyat pada 1 November lalu.

Kata beliau, pihaknya banyak menerima aduan lisan daripada penduduk berhubung tahap kesihatan mereka selain kematian haiwan seperti lembu dan anjing yang menghampiri lokasi tersebut.

“Kita terima aduan lisan mengenainya termasuk haiwan yang dikatakan mati kesan daripada sisa tersebut, Jadi, bayangkan kalau berlaku kepada manusia sudah tentu lebih dahsyat dan tidak mahu perkara ini berterusan.

“Kita tidak akan duduk diam sehingga dapat kenal pasti pelaku kejadian ini,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 178 aduan berkaitan pencemaran alam sekitar di bawah Parlimen Kapar telah dilaporkan sejak 1 Januari lalu sehingga semalam.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 136 aduan telah dilaporkan berkaitan pencemaran udara, 12 buangan terjadual, air (8), bunyi (7) serta kacau ganggu dan sampah (15),” katanya, -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI