fbpx

Mahkamah: Penolong pengarah stesen TV didakwa terima RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suhaila (baju hitam) ketika hadir didakwa di mahkamah itu hari ini. -Foto SADDAM YUSOFF/KOSMO!

SHAH ALAM – Seorang ketua penolong pengarah sebuah stesen televisyen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menerima RM10,000 daripada seorang pemilik syarikat produksi pada 2018.

Tertuduh, Suhaila Md. Zaini, 44, yang berpakaian hitam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Suhaila sebagai penerbit rancangan didakwa telah menerima wang berjumlah RM10,000 daripada pemilik sebuah syarikat melalui akaun bank miliknya di sebuah cawangan bank di Taman Sri Gombak, Batu Caves pada 13 Julai 2018.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin menawarkan jaminan 10,000 bagi pertuduhan itu dan memohon penyerahan pasport kepada mahkamah selain melaporkan diri kepada SPRM setiap bulan.

Peguam Gurmit Singh Hullon yang mewakili Suhaila memohon pengurangan kerana anak guamnya turut dijangka didakwa atas pertuduhan lain.

“Selain itu, anak guam saya dijadualkan menunaikan ibadah umrah pada 1 hingga 15 Disember depan. Jadi, mohon kebenaran pelepasan pasport itu yang sudah diserahkan kepada ejen bagi urusan tersebut,” katanya.

Awang Kerisnada kemudian membenarkan jaminan RM7,000 bersama seorang penjamin dan melaporkan diri setiap minggu pertama di pejabat SPRM Selangor.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 17 November ini bagi serahan dokumen pasport tertuduh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI