fbpx

Lelaki ditemui lemas ketika memancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LELAKI yang dilaporkan hilang ketika memancing di kawasan tali air di Jalan Kuala Parit, Kampung Pasir Jenderis di Kampung Gajah semalam ditemui mati lemas hari ini. - Foto IHSAN JBPM

PASIR SALAK – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika memancing di kawasan tali air di Jalan Kuala Parit, Kampung Pasir Jenderis dekat Kampung Gajah di sini semalam ditemui mati lemas hari ini.

Mayat Mohd. Asrul Aafendy Shazali, 36, dijumpai orang awam tersangkut pada titi sekitar pukul 10.57 pagi iaitu pada jarak 2.3 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dikenal pasti.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat pada pukul 2.45 petang.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai datang ke kawasan berkenaan untuk memancing sejak pagi sebelum dilaporkan hilang.

“Motosikal dan peralatan memancing dipercayai milik mangsa masih berada di lokasi kejadian.

“Ketua operasi segera membuat penilaian risiko dan mengarahkan anggota membuat pencarian di kawasan sekeliling manakala Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Teluk Intan pula melaksanakan carian di permukaan tali air tersebut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, operasi pencarian lelaki itu yang disambung hari ini turut menggunakan khidmat dua ekor anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) bomba selain dibantu orang awam menggunakan empat buah bot.

Katanya, selain pasukan bomba, operasi turut melibatkan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dengan jumlah keseluruhan seramai 47 orang.

“Mangsa bagaimanapun telah dijumpai oleh orang awam pada pukul 10.57 pagi. Mayat mangsa dibawa naik ke tebing dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI