fbpx

Operasi taska diwajib hubungi ibu bapa jika anak tidak hadir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nancy ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Malam Bersama Media Sarawak di Kuching, malam tadi.

KUCHING – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mengetatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ke atas Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dengan mewajibkan operator menghubungi ibu bapa sekiranya mendapati anak-anak mereka tidak hadir ke pusat jagaan berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata ia bagi membantu ibu bapa agar lebih peka terhadap keberadaan anak-anak mereka.

Katanya, ia sekali gus dapat mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku ke atas kanak-kanak berkenaan, misalnya seperti kes kematian akibat tertinggal di dalam kereta.

“Walaupun ini tidak secara langsung berkait dengan kematian kanak-kanak di dalam kereta, sekurang-kurangnya ia dapat mengingatkan ibu bapa sama ada anak mereka masih di dalam kereta atau tidak.

“Oleh itu, operator perlu menghubungi ibu bapa kanak-kanak tersebut dan ia menjadi salah satu standard operasi (SOP) mereka agar kes kematian dalam kereta dapat dielakkan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui sempena Malam Bersama Media Sarawak di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, Nancy mengingatkan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke taska agar meninggalkan nombor telefon mereka atau ahli keluarga terdekat supaya sentiasa dapat dihubungi.

“Kita perlu memastikan sebab anak-anak mereka tidak hadir ke pusat jagaan.

“Sekurang-kurangnya jika terlupa, kanak-kanak yang tertinggal di dalam kereta tidak ditinggalkan terlalu lama sehingga tujuh atau lapan jam, yang akhirnya boleh menjurus kepada kes kematian,” katanya.

Dalam pada itu, Nancy berkata kementeriannya juga akan lebih tegas terhadap pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas anak-anak di taska. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI