fbpx

Tidak salah Akta Lompat Parti dipinda ikut kesesuaian – Ahmad Maslan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AHMAD MASLAN (dua dari kiri) menyaksikan Othman menyampaikan surat tauliah kepada Ahli Jawatankuasa Veteran UMNO Bahagian Pontian, Pontian hari ini.

PONTIAN – Akta Anti Lompat Parti masih mempunyai ruang untuk diperbaiki kerana terdapat kejanggalan apabila empat Ahli Palimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, insiden empat Ahli Parlimen PN menukar sokongan baru-baru ini itu sedang menguji kejituan pelaksanaan akta berkenaan.

Katanya, tidak salah jika akta tersebut dibuat pindaan berdasarkan kepada kesesuaian oleh Jabatan Perdana Menteri yang kini dibawah urusetia Menteri di Jabatan Perdana (Undang-Undang dan Reformasi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Adalah menjadi janggal apabila Ahli-Ahli Parlimen berkenaan duduk di blok yang sama tetapi berlawanan dan bertentangan dengan pimpinan pembangkang yang ada disekeliling mereka.

“Masih ada ruang untuk dibuat pindaan kepada akta ini bagi memberikan kekuatan kepada Akta Anti Lompat Parti kerana Perlembagaan juga boleh dibuat pindaan mengikut keperluan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis angkat sumpang Jawatankuasa Veteran UMNO Bahagian Pontian di Pejabat Veteran UMNO Pontian di sini hari ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan I berkata, penambahbaikan serta pindaan terhadap Akta Anti Lompat Parti itu juga penting bagi mengelakkan kejanggalan berlaku antara Ahli Parlimen yang menukar sokongan serta parti lama yang dinaungi.

“Adalah amat janggal apabila ada Ahli Parlimen tidak bersetuju dengan kita (parti) tetapi kita tidak dapat pecat dia dan hanya boleh digantung sahaja.

“Ini kerana memecat Ahli Parlimen yang menukar sokongan akan menyebabkan parti berkenaan kehilangan kerusi dan Pilihan Raya Kecil (PRK) perlu diadakan mengikut Akta Anti Lompat Parti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI