fbpx

MyCARE sumbang RM1 juta kepada Palestin, sasar tingkat kutipan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUHAIZAN (lima dari kanan) berarak dalam Himpunan Aman Solidariti Program Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai Prihatin Palestin di Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!

JOHOR BAHRU – Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) menyalurkan sebanyak RM1 juta kepada penduduk Palestin khususnya di Semenanjung Gaza yang terlibat dalam konflik peperangan sejak 7 Oktober lalu.

Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani berkata, RM500,000 telah disumbangkan selepas beberapa hari peperangan tercetus menerusi pengurus MyCARE Palestin, Dr. Ziad Shehada yang berada di sana.

Sementara itu katanya, sumbangan berjumlah RM500,000 lagi disampaikan dengan kerjasama Wisma Putra melalui bekalan makanan dan perubatan.

“Selain itu, MyCARE Johor juga mensasarkan sebanyak RM350,000 untuk tabung Palestin yang mana kutipan terkini adalah berjumlah RM280,000.

“Sumbangan seperti ini akan diteruskan ekoran keadaan terkini di Gaza telah mengalami kehancuran yang teruk akibat serangan rejim Zionis. Kita sasarkan jumlah besar dimana tahun lalu sumbangan bernilai RM30 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri Perhimpunan Solidariti untuk Palestin di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas Permai, di sini hari ini. Hadir menyempurnakan majlis, Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat.

Program tersebut dihadiri seramai kira-kira 1,000 penduduk PPR itu yang berarak bersama sepanduk dan bendera Palestin bagi menzahirkan sokongan dan solidariti mereka kepada mangsa-mangsa.

Sementara itu, Suhaizan pula memberitahu, usaha yang dilakukan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama persatuan penduduk PPR itu merupakan contoh terbaik dalam menyuarakan sokongan kepada rakyat Palestin.

“Perarakan Solidariti Palestin adalah usaha menanam kesedaran masyarakat awam khususnya generasi muda serta bagi menyuarakan bantahan dunia kepada kekejaman Israel.

“Kezaliman ini bukan hanya melibatkan mangsa yang beragama Islam, sebaliknya masyarakat Palestin yang beragama Kristian turut menjadi mangsa dibom dan dibunuh,” ujarnya lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI