fbpx

Kerajaan bincang cadangan naikkan harga beras putih tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad (kiri) menghulurkan beras kepada salah seorang pembeli di HPPNK 2023 di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Ray, Ipoh hari ini. Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/KOSMO!

IPOH – Satu perbincangan berkaitan cadangan menaikkan harga siling beras putih tempatan (BPT) daripada RM2.60 sekilogram kepada RM3.20 sekilogram sedang dijalankan melibatkan empat kementerian.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, empat kementerian itu ialah KPKM, Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menurut beliau, perbincangan tersebut diadakan bagi memastikan tiada pihak yang terbeban sekiranya cadangan itu dilaksanakan.

“Harga sekarang (beras putih tempatan) adalah harga sejak tahun 2008, jadi ada pihak mengatakan harga itu perlu dikaji semula.

“Kita akan tengoklah (kaji dahulu), jika berlaku (kenaikan), bebanannya bukan kepada satu pihak sahaja. Kita perlu pertimbangkan bebanan yang dihadapi penanam padi, pemborong, pengilang dan pengguna sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri Jualan Kombo Madani sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Bulatan Sultan Azlan Shah di Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan kenaikan harga BPT perlulah memberi situasi sama menang (win-win situation) kepada semua pihak.

“Di pihak kementerian, kita memang selalu bermesyuarat dan mengadakan perbincangan berkaitan isu ini. Apa yang penting, kita mahu ‘win-win’ untuk semua pihak,” katanya.

Terdahulu, Badan Kawal Selia Padi dan Beras mendapati harga siling BPT wajar dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM2.60 sekilogram ketika ini bagi menjaga masa depan semua pihak yang terbabit dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu, terutama pesawah.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood, berkata penetapan harga siling BPT pada RM2.60 tidak disemak sejak 15 tahun lalu walaupun gaji minimum sudah dinaikkan sebanyak dua kali dalam tempoh itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI