SIBU – Seorang maut manakala empat lagi cedera dalam pertembungan melibatkan sebuah Proton Saga dan Proton Exora di simpang Lorong Ulu Oya 8, Jalan Ulu Oya di sini pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata dalam kejadian dilaporkan kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Lungan Engkang.
Menjelas lanjut, beliau berkata mangsa iaitu lelaki berusia 53 tahun merupakan pemandu Proton Saga dan membawa tiga penumpang iaitu perempuan berusia 46 dan 13 tahun, manakala maklumat seorang lagi mangsa belum diketahui.
Sementara, katanya pemandu Proton Exora terbabit iaitu lelaki berusia 30 tahun turut cedera.
“Pemandu Proton Saga terbabit disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Sibu.
“Manakala mangsa lain yang cedera telah dihantar ke Hospital Sibu menggunakan ambulans,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah bertindak mengeluarkan mayat mangsa dari dalam kenderaan yang remuk.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE














