fbpx

Rumah rakit penyelamat ‘ore kelate’ musim bah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shaffien (kiri) melihat rumah rakit yang telah dibaik pulih bagi menghadapi musim tengkujuh di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang semalam.

GUA MUSANG – Lebih 1,200 penduduk Kampung Limau Kasturi di sini, sanggup mengeluarkan belanja antara RM2,000 hingga RM5,000 untuk membaik pulih rumah rakit dan bangsal untuk berdepan dengan Monsun Timur Laut.

Penghulu Mukim Kampung Limau Kasturi, Mohd. Shaffien Mohmood berkata, persiapan dilakukan sejak awal bulan ini dengan lebih 20 rumah rakit dan 10 bangsal dibina di atas bukit ketika banjir besar pada 2014 telah dibaik pulih.

Katanya, rumah rakit dibina menggunakan kayu, tong dan zink oleh penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan tebing sungai bagi menyelamatkan harta benda.

“Setiap rumah ada rumah rakit untuk simpan peti sejuk, mesin basuh, pakaian dan dokumen penting,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang warga emas, Mat Diah Seman, 73, berkata, rumah rakit itu menggunakan enam sehingga 20 tong plastik yang berupaya terapung serta boleh memuatkan sehingga 20 orang.

“Saya belanjakan RM3,000 untuk bina rumah rakit merangkumi upah bina dan selenggara. Jika air mula naik, saya akan simpan barangan berharga dan menambat tali rumah rakit pada pokok,” katanya.

Bagi Samsiah Mahmad, 68, pula, rata-rata penduduk masih trauma dengan banjir besar sembilan tahun lalu apabila keba­nyakan harta benda musnah dan rumah rosak teruk.

“Banjir akan berlaku jika hujan berterusan selama tiga hari. Jadi rumah rakit adalah penyelamat walaupun kos membina rumah rakit meningkat,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteo­rologi meramalkan empat hingga enam episod hujan lebat dijangka berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut bermula hari ini hingga Mac tahun depan.

Hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan barat Sarawak pada fasa awal musim tengkujuh dari November hingga Januari depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI