fbpx

Ops Ihsan ke Mesir buka hab, beli barang mentah untuk Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kerja-kerja memuatkan barang bantuan ketika Majlis Pelepasan Penghantaran Kedua Bantuan Kemanusiaan Ops Ihsan ke Gaza Palestin di Terminal Kargo KLIA malam tadi. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

SEPANG – Pasukan misi kemanusiaan Ops Ihsan berhasrat mewujudkan sebuah hab operasi di Kaherah, Mesir untuk kerja-kerja penyelarasan penghantaran bantuan terus ke Gaza.

Pengerusi Sekretariatnya, Jismi Johari berkata, premis khas tersebut akan diurus selia oleh pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dari negara ini yang bernaung di bawah Ops Ihsan.

“Insya-Allah kami akan terbang ke sana pada minggu depan untuk memastikan segala perancangan dapat dilakukan dengan lancar,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau hadir menyaksikan majlis perlepasan misi bantuan kemanusiaan kedua Ops Ihsan di terminal kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sejumlah hampir 20 tan berupa bahan makanan, pakaian dan keperluan bayi diangkut dengan pesawat sewa khas Boeing 737 milik syarikat tempatan, World Cargo Airlines.

Mengulas lanjut, Jismi berkata, pasukan Ops Ihsan juga dijangka membeli lagi pelbagai barangan keperluan di Kaherah antaranya tepung gandum, minyak masak dan air mineral.

“Langkah ini dilihat lebih ekonomi berbanding jika dihantar dari Malaysia kerana bahan tersebut memang sudah ada di Mesir dan boleh diperoleh mudah secara pukal.

“Kami memberi jaminan bahawa kesemua barangan yang dikumpul pasukan itu hasil sumbangan rakyat Malaysia pada bulan lepas adalah selamat dan memenuhi keperluan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI