MASIH berbekas dalam sanubari Zati (bukan nama sebenar) tentang apa yang berlaku dalam kanvas hidupnya sedekad lalu.
Kadangkala Zati tersenyum dan menangis seraya mengenangkan episod rumah tangganya yang berakhir begitu sahaja dan sukar dihadam puncanya.
Tidak seperti pasangan lain yang sentiasa bergaduh atau pukul-memukul hingga bercerai-berai, perpisahan Zati dengan suami berlaku secara mendadak apabila lelaki itu tiba-tiba asyik mengungkit segala kebaikan dan wang yang telah dibelanjakan untuk rumah tangga, bahkan meminta dirinya memulangkan segala wang yang telah dibelanjakan sepanjang perkahwinan.
Bagi Zati, 35, apa yang berlaku dalam rumah tangga yang dibina bersama bekas suami, Aniq (bukan nama sebenar) biarlah menjadi sejarah yang tidak akan mungkin diulang kembali.
“Perkahwinan kami cukup sederhana dan ringkas. Kami kenal pun daripada saudara-mara terdekat.
“Hampir setahun bermadu kasih, Aniq mengambil keputusan untuk melamar saya. Pada ketika itu saya baru sahaja tamat pengajian di kampus,” katanya kepada K2.
Menurut Zati, Aniq yang lebih lima tahun tua daripadanya nekad untuk menamatkan zaman solonya dan membina mahligai bersama insan yang dicintai.
Meneruskan perkongsian, Zati dan keluarga pun bersetuju dan menerima lamaran tersebut tanpa banyak berfikir.
Ujar Zati, suaminya juga tidak membenarkannya untuk bekerja ketika itu kerana dia yakin mampu menanggung isterinya selepas disatukan.
“Jadi, saya turutkan kata dan kehendak suami. Selepas bernikah, saya mengikutnya berpindah ke Selangor tempat di mana suami bertugas.
“Suami merupakan seorang pensyarah di salah sebuah universiti swasta terkemuka di Lembah Klang.
“Sebelumnya, dia langsung tidak pernah memberitahu pekerjaannya ketika kami dalam fasa perkenalan dan waktu itu baharu saya sedar kenapa suami tidak membenarkan dirinya bekerja,” katanya.
Pada awal pernikahan, semuanya berjalan lancar. Pernah juga sesekali suami membawa saya bersama ke program-program yang dianjurkan universiti tempat dia bekerja.
Beritahu Zati, selang dua tahun, dia dan suami dikurniakan zuriat dalam rumah tangga mereka sekali gus menjadi penemannya di rumah.
“Alhamdulillah kami dikurniakan seorang puteri. Saya bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia (anak) dapat menemani saya di rumah lebih-lebih lagi ketika suami bertugas,” tuturnya.
Pejam celik pejam celik, anak kami juga sudah menginjak usia dua tahun. Bermula dari situ jugalah saya syak perubahan dalam diri suami yang akhirnya merubah segalanya.
Jelas Zati, perubahan yang dirasai adalah perangai dan sikap suami yang bertukar menjadi pemarah serta mudah emosi tidak bertempat.
“Bayangkan suami yang saya kenal dan jenis pendiam berubah lain macam. Bila balik dari kerja dia mula membebel dan ada sahaja yang tidak kena.
“Hampir setahun juga saya dan anak hadap perangai suami. Tapi semakin hari semakin menjadi-jadi.
“Ada satu masa suami tiba-tiba luahkan semua amarahnya kepada saya. Dia bilang saya macam puteri raja hanya duduk di rumah tanpa membantunya mencari wang.
“Paling saya terkejut, suami mula mengungkit segala pemberian dan perbelanjaan yang pernah dikeluarkan sejak melamar saya hinggalah mereka dikurniakan anak.
“Suami juga ada terlepas cakap yang dia sebenarnya masih belum puas hidup bujang dan langsung tiada perancangan bernikah awal, tetapi terpaksa bersetuju disebabkan aturan keluarga,” katanya.
Sejak dari hari itu, suami setiap hari mengungkit dan ada kala meminta saya memulangkan semua wang yang pernah dibelanjakan kepadanya.
Ujar Zati, semua amarah dan panas baran suami dilampiaskan kepadanya dan anak yang langsung tidak tahu menahu dan berdosa.
Bermula detik itu juga, Zati merasakan dirinya punca segala beban yang suami tanggung selama ini.
Nekad dan berfikir masak-masak, Zati meminta suaminya melepaskannya selain meminta izin untuk menjaga anak yang menjadi amanah dikurniakan kepada mereka berdua.
Zati juga sempat meminta untuk dihalalkan segala makan minum, perbelanjaan dan apa sahaja yang pernah dihabiskan buatnya dan anak selain berjanji akan memulangkannya usai dapat kerja.













