fbpx

11.8 juta kenderaan guna lebuh raya cuti Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengguna jalan raya disaran untuk mematuhi cadangan jadual perjalanan bagi mengelak kesesakan.

PETALING JAYA – Sebanyak 11.8 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya utama negara selama dua hari bermula hari ini hingga esok sempena cuti pe­rayaan Deepavali.

Peningkatan jumlah kende­raan itu dijangka berlaku susulan pengumuman kerajaan yang bersetuju memberikan tol percuma kepada semua pengguna lebuh raya.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif pemberian tol yang bermula pukul 12.01 tengah malam tadi sehingga 11.59 malam esok adalah bagi meraikan rakyat

Malaysia terutamanya masyarakat kaum India beragama Hindu yang akan menyambut perayaan Deepavali esok.

“Ia juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambah Alexander, pemilihan tarikh tersebut bertujuan untuk mengelakkan penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar dengan anggaran jumlah trafik pada dua hari itu adalah sebanyak 11.8 juta kenderaan.

“Ia juga dapat mengoptimumkan pengoperasian dan penyela­rasan logistik tambahan, seperti pengurusan kawalan trafik, sumber air tambahan, penyediaan tandas dan keperluan logistik.

“Ia membabitkan pihak ketiga di kawasan hentian sebelah (Lay By) dan kawasan Rehat & Rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya.

“Dengan pelaksanaan tol percuma, diharapkan agar pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini selain merancang perjalanan dengan sebaiknya,” katanya.

INISIATIF pemberian tol percuma kepada pengguna jalan raya diharap dapat meringankan beban rakyat terutama pada musim perayaan.

Tambah Alexander, pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi cadangan ja­dual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.

“Aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlu dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat tiba ke destinasi dengan selamat dan sambutan pe­rayaan Deepavali ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pemberian tol percuma kepada semua kenderaan sempena Tahun Baharu Cina pada 20 dan 21 Januari lalu.

Pada sambutan Aidilfitri pula, kerajaan turut melaksanakan pemberian Tol Rahmah Percuma selama empat hari.

Dalam perkembangan lain, ANIH Berhad dalam satu kenya­taan memaklumkan, sebanyak 692,000 ken­deraan bakal menggunakan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) sempena Dee­pavali iaitu peningkatan sebanyak 73 peratus daripada jumlah purata trafik harian biasa.

Tambahnya, jumlah aliran trafik di Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) pula dijangka sebanyak 284,000, bersamaan peningkatan peratusan sebanyak 58 peratus daripada kebiasaan.

Pengguna lebuh raya boleh menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemas kini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMtrafik secara berkala.

Selain itu, pengguna juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan.

Sebelum ini, Lembaga Le­buhraya Malaysia (LLM) menjangkakan dua juta kenderaan dijangka menggunakan Lebuh Utara Selatan (PLUS), manakala Kuala Lumpur-Karak sebanyak 173,000 kenderaan, Pantai Timur Fasa 1 (71,000) dan Pantai Timur Fasa 2 (50,000) sempena cuti perayaan Deepavali.

Tiga lebuh raya utama negara itu akan menerima peningkatan trafik berikutan pertambahan aliran keluar kenderaan dari ibu kota dan Lembah Klang menuju ke arah Pantai Timur, Utara dan Selatan bermula semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI