fbpx

Tanah adat dikata dirampas, wakil penduduk lapor SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MHO bersama beberapa penduduk dari tiga daerah di Sabah membuat laporan kepada SPRM susulan tanah adat dirampas di kampung mereka. Foto MOHD. HUSNI MOHD. NOOR

PUTRAJAYA – Tiga wakil penduduk kampung di tiga daerah di Sabah membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini supaya menyiasat isu salah guna kuasa dan rasuah membabitkan pemilikan tanah adat di kawasan mereka.

Penduduk dari Kampung Monpock (Semporna), Kampung Serundong Ulu (Kalabakan, Tawau) dan Kampung Minusuh (Tongod) itu mendakwa mereka tiada lagi tempat untuk mengadu.

Salah seorang penduduk Kampung Serundong, Ulu Kalabakan, Tawau, Salina Lingutan, 41, berkata, dia kini hidup dalam kesusahan kerana tiada tempat lagi untuk bercucuk tanam dan mengusahakan tanaman kelapa sawit.

Katanya, dia pernah ditahan polis beberapa kali kerana didakwa menceroboh tanah sedangkan ia tanah adat dan milik nenek moyang mereka.

“Saya mahu pihak berkuasa menyiasat kenapa tanah asal ini boleh bertukar milik,” katanya ketika ditemui di luar bangunan Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penduduk dari kampung sama, Jhonny Unkis, 57, berkata, dia berharap SPRM dapat bantu membantunya mendapatkan semula tanah adat milik nenek moyangnya itu.

Katanya, sudah ramai penduduk keluar dari kampungnya dan menetap bersama anak serta saudara di bandar.

“Mereka keluar dari kampung kerana tidak lagi dibenarkan untuk bercucuk tanam. Saya memilih untuk kekal di tanah itu dan tidak akan berpindah,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, penduduk yang terjejas itu bukanlah orang yang senang dan tekanan dihadapi ketika ini dilihat menambah derita mereka.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI