fbpx

Produk madu guna sijil halal tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN penguatkuasa KPDN Negeri Sembilan bersama pegawai JHEAINS dan KKM menyerbu sebuah premis di Nilai yang dikesan mengunakan sijil halal tanpa kebenaran pada produk madu.

SEREMBAN – Sebuah premis di kawasan perindustrian Nilai di sini diserbu pihak berkuasa selepas dikesan menggunakan logo halal pada produk madu tanpa kebenaran dalam operasi bersepadu yang dijalankan hari ini.

Kegiatan tersebut terbongkar hasil perkongsian maklumat dan pemantauan oleh pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan bersama Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dan Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan berkata, pemeriksaan awal mendapati premis tersebut memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi produk jus limau yang dikeluarkan.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut menggunakan logo halal pada produk madu yang dikeluarkan tanpa kebenaran pihak bertanggungjawab.

“Tindakan diambil terhadap premis tersebut di bawah Peraturan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar Peraturan 4(1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Muhammad Zahir berkata, selain tindakan kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, KKM juga telah mengeluarkan kompaun terhadap premis tersebut.

“Kompaun itu bagi kesalahan tidak menyedia dan mengadakan Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dan kesalahan gagal menyediakan Rekod Latihan Pengendali Makanan, selain turut di arahkan tutup di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

“JHEAINS juga mengesyorkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) premis tersebut digantung dan ditarik,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI