ALOR SETAR – Sebilangan ibu bapa kini terpaksa mengambil risiko dengan meninggalkan anak-anak mereka di rumah tanpa pengawasan orang dewasa semata-mata perlu keluar mencari rezeki termasuk menyelesaikan pelbagai urusan harian.
Tindakan tersebut walaupun nampak remeh tetapi mendedahkan anak-anak terutama mereka yang masih kecil kepada risiko bahaya seperti kebakaran dan kemalangan.
Statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tempoh 2021 hingga Jun lalu turut mendedahkan, jabatan itu telah menyelamatkan seramai 6,475 kanak-kanak yang diabai termasuk melibatkan kes kanak-kanak yang ditinggalkan tanpa pengawasan orang dewasa.
Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM, Dr. Sopian Brahim berkata, trend kes pengabaian kanak-kanak yang diselamatkan Pelindung JKM menunjukkan terdapat kes yang berlaku berpunca daripada tindakan ibu, bapa atau penjaga yang membiarkan anak mereka tinggal bersendirian di rumah.
“Kes-kes itu mengesahkan bahawa situasi ibu, bapa atau penjaga meninggalkan anak di rumah sewaktu keluar bekerja atau untuk melakukan urusan lain berlaku dalam masyarakat kita.
“JKM percaya masih ramai lagi anak-anak berada dalam situasi sebegini yang mungkin pada ketika ini ‘masih selamat’ di rumah.
“Namun, harus diingat bahawa kanak-kanak masih terdedah kepada bahaya sehingga boleh menyebabkan kecederaan atau kematian,” katanya kepada Kosmo!.
Kata beliau, kes pengabaian kanak-kanak meningkat daripada seramai 2,122 kanak-kanak yang diselamatkan pada 2021 kepada 2,912 kanak-kanak pada tahun 2022.
Bagi tempoh tahun ini hingga Jun lalu, seramai 1,441 kanak-kanak diselamatkan.
“Negeri tertinggi mencatatkan kes pengabaian kanak-kanak dalam tempoh sama adalah Selangor sebanyak 1,469 kes diikuti Kuala Lumpur 1,102 kes, Johor (736), Sabah (647), Kedah (429) dan Perak (421),” ujarnya.
Mengulas lanjut katanya, kes ibu, bapa atau penjaga yang meninggalkan anak di rumah tanpa pengawasan orang dewasa dikategorikan di bawah subperenggan 17(1)(c)(i) iaitu seseorang kanak-kanak memerlukan pemeliharaan dan perlindungan jika ibu, bapa atau penjaga yang tidak layak atau telah mengabaikan kanak-kanak itu.
“Bagi kes di bawah subperenggan itu, jumlah kes yang telah diselamatkan JKM dalam tempoh sama adalah 1,172 kes,” ujarnya.
Menurut Sopian, salah satu kes kematian yang berlaku disebabkan tindakan ibu bapa meninggalkan anak di rumah tanpa pengawasan orang dewasa adalah kes empat beradik maut dalam kebakaran di Muar, Johor pada Mac lepas.
“Ketika kejadian berlaku, bapa kanak-kanak berada di tempat kerja, manakala ibu kanak-kanak keluar ke kedai untuk membeli barang keperluan.
“Selain itu, terdapat kes dua beradik maut dalam kebakaran di Gombak, Selangor ketika ibu dan bapa kanak-kanak keluar makan pada pukul 3 pagi pada Januari 2023. Kanak-kanak yang terlibat berusia sembilan dan enam tahun,” jelasnya.
Katanya, terdapat juga kes kanak-kanak berusia sembilan tahun maut dicekik abang yang berlaku di Melaka Tengah, Melaka pada Julai lalu.
“Ketika kejadian, kanak-kanak yang kurang sihat ditinggalkan di rumah bersama abang yang direhatkan daripada persekolahan atas sebab masalah kesihatan. Bapa kanak-kanak berada di kampung di Terengganu, manakala ibu kanak-kanak berada di tempat kerja,” katanya.
Tambahnya, tindakan ibu, bapa atau penjaga mengabaikan kanak-kanak boleh disiasat di bawah perenggan 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Sekiranya ibu atau bapa atau penjaga disabitkan dengan kesalahan mengabaikan kanak-kanak, mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya dan bon serta melaksanakan perintah khidmat masyarakat mandatori,” katanya.














