fbpx

Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya Semenanjung Malaysia bermula 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di Semenanjung Malaysia akan bermula pada tahun 2026.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah pula akan bermula lebih awal iaitu pada tahun 2025.

“Proses persempadanan semula kawasan pilihan raya telah pun bermula di Sarawak tahun ini, Sabah pada tahun 2025, manakala Semenanjung Malaysia akan bermula prosesnya dalam tahun 2026.

“Proses ini melibatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat kajian dan sebagainya dalam tempoh dua tahun. Selepas tempoh itu satu, laporan yang mengandungi penemuan-penemuan SPR akan dikemukakan kepada Perdana Menteri,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan V.Ganabatirau (PH-Klang mengenai asas demokrasi `one man, one vote, one value’ yang seolah-olah dipermainkan kerana sesebuah kawasan pilihan raya memiliki lebih banyak pengundi berbanding kawasan lain.

Ramkarpal menjelaskan, dalam proses persempadanan semula kawasan pilihan raya terdapat banyak faktor akan diambil kira termasuk berkenaan nisbah pengundi di setiap kawasan.

“Sama ada nisbah itu bersesuaian (contoh) jika dibanding penduduk di Bangi kira-kira 300,000 berbanding Putrajaya yang mungkin lebih kurang. Ini semua akan diambil kira oleh SPR,” katanya.

Terdahulu, beliau menerangkan, peratus keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah sebanyak 74.7 peratus, manakala PRU-13 sebanyak 84.84 peratus dan PRU-14 sebanyak 82.32 peratus.

Jelas beliau, penurunan peratusan keluar mengundi kerana dipengaruhi oleh `denominator’ digunakan iaitu jumlah pemilih berdaftar yang tinggi kesan daripada pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik serta penurunan had umur pengundi kepada 18 tahun.

Beliau menjawab soalan asal Datuk Seri Dr. Shahidan Kasim (PN-Arau) mengapa terdapat penurunan drastik dalam peratusan rakyat keluar mengundi pada PRU-15. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI