fbpx

Istiadat pertukaran pengawal Istana Negara dilaksana semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Upacara penyerahan panji-panji Batalion pasukan RAMD pengawal lama kepada pengawal baharu di Istana Negara, hari ini.

PETALING JAYA – Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara dilaksanakan semula hari ini selepas dihentikan susulan pandemik Covid-19 sejak 2019.

Istiadat pertukaran di antara pengawal baharu dan lama di hadapan Pintu 1 Istana Negara itu melibatkan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) dan 21 Skuadron Istiadat Berkuda di bawah naungan Markas 12 Briged.

Menurut kenyataan Istana Negara, seramai empat pegawai dan 80 anggota pangkat lain 1 RAMD serta dua pegawai dan 22 anggota pangkat lain dari 21 Skuadron Istiadat Berkuda terbabit dalam upacara itu.

Katanya, Istiadat dimulakan dengan perbarisan keluar dari Istana Negara oleh detasmen Pasukan 1 RAMD bersama Panji-Panji Batalion diiringi Pancaragam Pusat RAMD.

Ia disusuli upacara penyerahan Panji-Panji sebagai simbolik kepada pertukaran pasukan Pengawal Istana yang baharu sambil disaksikan Pemangku Panglima 12 Briged, Kol Awis Ibrahim.

Untuk rekod, istiadat itu pertama kali diadakan pada 1959 di antara Pasukan Batalion Kelima RAMD dengan Pasukan Batalion Keenam 6 RAMD.

Ia mula dipertontonkan kepada orang awam pada 1994 selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong ke-10, Tuanku Ja’afar ibni Tuanku Abdul Rahman.

Upacara itu kemudian mula diadakan di Istana Negara, Jalan Duta pada 2012 dan pertama kali melibatkan Pasukan 21 Skuadron Istiadat Berkuda Kor Armor Diraja pada 2015.

Idea pelaksanaannya diperolehi selepas Malaysia diberi penghormatan kerajaan British bagi menggantikan pengawal mereka selama tiga bulan di United Kingdom melibatkan Istana Buckingham, Istana St. James, Istana Windsor dan Menara London pada 2008. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI