fbpx

Lelaki Sabah ‘godam’ web kerajaan Australia, perbankan luar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin pada sidang akhbar mengenai operasi khas bersama FBI, di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kelicikan seorang lelaki dalam menggunakan bakat dan kebolehan yang dimiliki sebagai pembangun perisian untuk menjual ‘phising template’ kepada scammer, berakhir apabila diberkas polis kelmarin.

Lelaki berusia 36 tahun warga tempatan yang merupakan ketua kepada sindiket ‘phising script’ dan ‘phising template’ itu diberkas di Sabah dalam satu Operasi Khas BulletProftLink dengan kerjasama Polis Persekutuan Australia (AFP) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, sindiket yang dibangunkan pada tahun 2015 ini berpangkalan di Sabah dan mula aktif sejak setahun lalu melalui iklan yang dipamerkan di laman sesawang BulletProftLink.

Ujarnya, sindiket ini menyasarkan laman web rasmi kerajaan Australia, institusi perbankan di luar negara, serta organisasi yang mengendalikan laman web beralamat [.gov] dan [.edu] dengan menyediakan perkhidmatan ‘phishing templates’ kepada scammer.

“Tindakan mereka turut melibatkan aktiviti transaksi jual beli maklumat identiti seperti kata laluan, maklumat perbankan, dan data peribadi yang diakses dari pelbagai negara termasuklah di Australia, Amerika Syarikat dan Malaysia.

“Semakan kami setakat ini, sejumlah 1,038 kata laluan dan nama pengguna rakyat Malaysia yang diakses secara tidak sah melalui ‘phising template’ ini. Bagi negara luar, kita juga masih menjalankan siasatan bersama AFP dan FBI berapa ramai mangsa yang terlibat.

“Ketua sindiket ini pun didapati tidak mempunyai sebarang latar belakang pendidikan teknologi maklumat tetapi kecerdikan Tuhan bagi boleh sampai tahap tu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Bukit Aman, di sini, hari ini.

Tambahnya, semakan dan profiling lanjut beserta bukti jejak kewangan (money trail) yang telah dibuat oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial bersama Unit Pencegahan Penggubahan Wang Haram (AMLA) mendapati rangkaian sindiket ini juga terlibat dalam dua skim penipuan pelaburan yang tidak wujud.

Ujar beliau, ia melibatkan satu skim pelaburan CFG International dan satu skim pelaburan mata wang kripto iaitu ECCoin yang menggunakan platfom Huobi.

“Hasil semakan lanjut mendapati sebanyak 37 laporan polis diterima berkaitan dua skim pelaburan yang tidak wujud di atas di seluruh negara yang melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah lebih RM1.2 juta,” katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, dalam operasi khas ini seramai lapan suspek ditahan di Sabah, Kuala Lumpur, Selangor dan Perak terdiri daripada tujuh warga tempatan dan seorang warga Thailand.

Selain itu, katanya, rampasan turut dilakukan ke atas ‘server’ yang didaftarkan atas nama suspek utama di Technology Park Malaysia (TPM) yang digunakan sebagai web hosting services ke atas laman sesawang www.bulletproftlink.com.

“Rampasan keseluruhan terdiri daripada e-wallet Cryptocurrency bernilai lebih RM 965,808, pelbagai peralatan komputer, barang kemas, dokumen dan dua buah kereta.

“Dua kertas siasatan di buka di bawah Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan 15 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kes penipuan pelaburan tidak wujud,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI