fbpx

Sepatutnya jadi teladan kepada anak-anak – Hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norshuhada ketika keluar dari Mahkamah Sesyen hari ini.

KUALA LUMPUR – “Mahkamah bagi peluang terakhir, kamu sepatutnya menjadi teladan kepada anak-anak kamu, “.

Demikian nasihat Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob sebelum menjatuhkan hukuman denda terhadap seorang ibu tiga anak yang juga pembantu tadbir kewangan di sebuah kementerian hari ini.

Terdahulu tertuduh, Norshuhada Ismail, 35, didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu dengan niat memperdayakan Kementerian Pertahanan Malaysia.

Sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda itu, dia boleh dipenjara selama 30 hari dan tertuduh membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersubahat dengan seorang pengurus sebuah syarikat sebagai ejen kepada Kementerian Pertahanan Malaysia yang mana dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen.

Dokumen itu ialah Kertas Kerja bagi Permohonan Perkhidmatan Sajian bagi Kursus Bijak Urus Wang pada 28 Februari 2022 hingga 03 Mac 2022 dan Bengkel Memperkasakan Modal Insan pada 14 Mac 2022 hingga 17 Mac 2022 berjumlah RM15,776.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat Pusat Tanggungjawab (PTJ) Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Markas Tentera Laut, Kementerian Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur antara Februari hingga Mac 2022.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Afiqah Ab Razak memohon hukuman setimpal atas kesalahan dilakukan tertuduh.

“Kes ini membabitkan penjawat awam selaku pembantu tadbir kewangan menguruskan perolehan, ini profesion mulia yang tidak seharusnya dicemari unsur jenayah.

“Penggunaan dokumen palsu adalah sikap tamak haloba tertuduh dan kes ini membabitkan kepentingan awam diutamakan melebihi kepentingan peribadi,” katanya.

Norshuhada yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan hukuman denda dan tidak dipenjarakan dengan alasan menanggung keluarga dan tiga anak masih bersekolah.

“Saya insaf dan menyesal serta berjanji tidak akan melakukan kesalahan sama dan mohon hukuman denda antara RM20,000 hingga RM25,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI