SEREMBAN – Suami pelakon Azar Azmi memohon Mahkamah Sesyen di sini hari ini untuk mengurangkan wang jaminan RM25,000 terhadapnya sebelum ini atas alasan memerlukan wang untuk menjalani rawatan kesihatan selain mengalami penyakit gout.
Tertuduh, Mohd. Apri Hazreen Mohd. Sapri, 41, membuat permohonan itu di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam ketika prosiding sebutan semula kes terhadapnya yang berdepan pertuduhan menipu dua mangsa bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran ‘Datuk’ dan tanah kurniaan.
Mohd. Apri Hazreen kelihatan hadir ke mahkamah dengan sebelah kaki yang terhincut dan memberitahu dia baharu keluar dari hospital.
“Saya sebenarnya baharu keluar dari hospital, kalau boleh saya nak minta jaminan dikurangkan kerana perlu menggunakan duit untuk buat ekokardiogram dan angiogram.
“Saya dah tanya hospital, kos untuk prosedur tersebut antara RM9,000 ke RM10,000. Saya juga perlu duit untuk perbelanjaan anak-anak kerana tiada siapa yang tanggung,” katanya.
Tertuduh turut mengakui baharu menjalani pembedahan penyakit gout selain memohon tempoh untuk melantik peguam dan bersedia mengikut setiap syarat-syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon mahkamah mengekalkan jumlah jaminan tersebut kerana kes dilakukan merupakan jenayah komersial yang serius.
Nadia Ezzati berkata, sehingga kini tiada sebarang bukti dikemukakan oleh tertuduh berkenaan sakit atau rawatan yang diperlukan oleh tertuduh bagi menyokong alasan yang diberikan. Mahkamah kemudian membenarkan jaminan terhadap tertuduh dikurangkan kepada RM21,000 dengan syarat tambahan yang sama. – KOSMO! ONLINE














