fbpx

Bawang, kelapa parut antara 8 barangan dikawal harga sempena Deepavali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Armizan menunjukkan harga lapan barangan yang dikawal sempena Deepavali pada Pengumuman SHMMP Deepavali 2023 di Bandar Tasik Kesuma, Beranang, hari ini.

HULU LANGAT – Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) khususnya pada Deepavali yang bakal berkuat kuasa 9 November hingga 15 November ini.

Pemangku Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, skim tersebut bakal dilaksanakan selama tujuh hari iaitu tiga hari sebelum, pada hari perayaan itu sendiri dan tiga hari selepasnya.

“Kementerian telah mengenal pasti lapan jenis barangan yang akan dikawal di bawah skim tersebut.

“Barangan yang terlibat ialah bawang merah besar import, bawang merah kecil (India) tidak termasuk ros, cili merah, daging kambing biri-biri bertulang import, kacang dal (Australia), kelapa biji, kelapa parut dan tomato,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di sidang akhbar Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2023 di Pertubuhan Kebajikan Jayaa Sri, Bandar Tasik Kesuma, Beranang di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan menteri KPDN, Fuziah Salleh dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd. Sany Hamzan.

Tambah Armizan, pemantauan harga tersebut dibuat dengan mengambil kira pandangan daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi-agensi kerajaan dan pemain-pemain industri tempatan.

“Kementerian sentiasa menjalinkan kerjasama dengan KPKM untuk memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan SHMMP.

“Malah, kami juga menggerakkan Pegawai Penguatkuasa KPDN di seluruh negara untuk meneruskan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik bagi menjalankan penguatkuasaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga-peniaga yang tidak beretika,” katanya.

Armizan menegaskan semua pihak perlu menggunakan label merah jambu bagi menandakan barangan yang telah dikawal harga.

“Adalah dingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI