SAYA ada mendengar bahawa terdapat hadis Nabi SAW mengenai larangan untuk tidur secara meniarap. Bagaimanakah pandangan para ulama terhadap isu ini?
JAWAPAN: Memang terdapat hadis daripada Nabi SAW mengenai larangan untuk tidur secara meniarap.
Ini sepertimana riwayat daripada Ya`ish daripada ayahnya, Tikhfah bin Qaysi al-Ghifari RA bahawa pada suatu hari ketika beliau sedang tidur di dalam masjid dalam keadaan meniarap, lalu ada seseorang yang menggerakkanku (membangunkanku) dengan menggunakan kaki lalu berkata: “Sesungguhnya ini adalah cara tidur yang dimurkai Allah. Kemudian Tikhfah RA berkata: “Lalu aku melihat lelaki itu (yang membangunkanku) adalah Rasulullah SAW.” (Riwayat Abu Daud (5040) & Al-Bukhari di dalam Adab al-Mufrad, 1187)
Dalam hadis dengan lafaz yang lain, Rasulullah SAW telah bersabda: “Bangun dan duduk, sesungguhnya ini adalah cara tidurnya penghuni neraka.” (Riwayat Ibn Majah, 3725)
Berdasarkan hadis di atas, antara faedah yang boleh diambil daripadanya adalah keharusan seseorang membangunkan orang lain yang sedang tidur dengan menggunakan kaki.
Perbuatan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW melalui hadis di atas menjadi dalil akan keharusannya, bahkan Nabi SAW adalah manusia yang paling tawadhu` dan perbuatan tersebut tidaklah dikira sebagai takbur.
Sekiranya yang mengejutkan itu padanya perasaan takbur, maka pada perbuatan tersebut ada hukumnya yang lain.
Namun, jika hanya semata-mata membangunkan seseorang dengan menggerakkan kaki dan mencuit, maka tidaklah mengapa dan tidak dikira sebagai takbur.
Namun, perlulah juga melihat kepada keadaan orang yang ingin dibangunkan itu.
Sekiranya ditakuti orang yang akan dibangunkan itu merasa diperkecilkan dan dipandang rendah dengan perbuatan membangunkan dirinya dengan menggunakan kaki, maka perbuatan itu haruslah dielakkan.
Jelas terdapat larangan agar tidak tidur secara meniarap.
Di dalam kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi’i, tidur secara sengaja dalam keadaan sebegini adalah makruh.
Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu`: “Dan dimakruhkan untuk tidur di atas perut (secara meniarap)”.
Al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah juga menyebutkan bahawa sunat juga mengejutkan mereka yang tidur dalam keadaan meniarap.
Kesimpulannya, larangan daripada tidur secara meniarap berdasarkan hadis yang disebutkan di atas difahami oleh ulama` Syafi`eyyah adalah bersifat makruh.
Seeloknya dijauhkan daripada perbuatan tersebut. Di akhir perbincangan ini, ingin kami kongsikan di sini bagaimana adab serta sunah yang boleh dipraktikkan oleh Muslim ketika mana ingin tidur.
Pertama, tidur dalam keadaan berwuduk.Rasulullah SAW telah bersabda:“Jika kamu mendatangi tempat pembaringanmu, maka berwuduklah seperti mana wudukmu untuk melakukan solat.” (Riwayat Al-Bukhari, 247, Muslim, 2710 & Abu Daud, 5046)
Kedua, tidur pada lambung kanan (mengiring ke kanan)
Ini juga berdasarkan hadis Nabi SAW: “…kemudian berbaringlah kamu di atas lambung kamu di sebelah kanan.” (Riwayat Al-Bukhari 247 & Muslim 2710)
Ketiga, membaca ayat al-Kursi sebelum tidur dapat memelihara diri daripada gangguan syaitan sehingga subuh.
Fadhilat ini berdasarkan hadis sahih diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya.
Ia adalah sebuah hadis yang panjang dan kami sertakan sekali takhrijnya bagi rujukan para pembaca.
Keempat, membaca 3 Qul. Berdasarkan hadis Nabi SAW daripada `Aisyah R.Anha: “Adalah Nabi SAW jika ingin tidur pada setiap malam akan menadah tangannya lalu dihembuskan pada kedua-duanya dan dibacakan padanya Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Naas kemudian Baginda menyapu pada kedua-dua tapak tangannya itu ke bahagian badan (yang boleh dicapai) dimulai dengannya pada bahagian kepala.
Muka dan bahagian depan badan Baginda dan Baginda melakukannya sebanyak tiga kali. (Riwayat al-Bukhari, 5017)
Kelima, membersihkan tempat tidur Ini berdasarkan hadis Nabi SAW: “Jika salah seorang dari kamu ingin mendatangi tempat tidur kamu, maka ambillah sebahagian kain lalu dikibaskannya (bagi membersihkan tempat tidur itu). (Riwayat Muslim, 2714)
Seterusnya, membaca doa, buanglah sifat dengki dan maafkanlah orang lain sebelum tidur serta membaca doa ketika bangun daripada tidur.
Tidur secara meniarap juga menurut kajian boleh membawa kepada masalah kesihatan.
Kebanyakannya adalah melibatkan sakit tulang belakang.
Semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita taufik dan hidayah-Nya untuk terus mengamalkan sunah Nabi SAW dalam setiap aspek kehidupan. Wallahu a’lam














