ANAK-ANAK kecil yang semakin membesar memerlukan perhatian dan penjagaan rapi daripada ibu bapa atau penjaga. Namun, situasi ini juga menjadi cabaran kepada ibu bapa yang bekerja.
Lebih-lebih lagi bekerja dari rumah yang perlu menjalankan tanggungjawab sebagai ibu serentak.
Walaupun berdepan cabaran tetapi tidak bermakna ibu bapa tidak boleh melakukannya.
Dengan strategi yang betul, kerja masih boleh dilakukan dengan baik. Anda juga boleh berada di sisi anak-anak, melihat mereka membesar tanpa perlu risau.
K-Wanita kongsikan lima langkah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ketika bekerja di rumah bersama anak-anak kecil.
Susun jadual harian
MENYUSUN jadual kerja sangat penting bagi melancarkan urusan kerja seharian, di samping menguruskan anak-anak masih kecil di rumah. Jadual harian ini menjadi panduan penting supaya kedua-dua tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan baik. Jadual yang tersusun ini bukan sahaja melancarkan kerja tetapi membantu anda untuk lebih bertenang dan tidak kelam-kabut.
Anak-anak kecil juga mudah dikawal jika mempunyai rutin yang ditetapkan. Pada masa sama, penting untuk fleksibel kerana anak kecil kadang-kadang tidak ikut perancangan.
Manfaatkan waktu anak tidur
SEBAGAI ibu bapa, kita pastinya sudah tahu waktu dan tabiat tidur anak. Waktu tidur adalah masa terbaik untuk anda melakukan tugasan dengan tenang dan lancar tanpa gangguan daripada anak-anak kerana mereka sedang menikmati tidur.
Harus diingat, waktu tidur setiap anak kecil berbeza, jadi penting untuk ibu bapa peka dengan masa tidur anak masing-masing.
Dari situ, anda dapat menyusun jadual terbaik bagi melaksanakan tugasan kerja.
Sediakan ruang kerja khas
WALAUPUN bekerja di rumah, namun penting untuk anda wujudkan ruang khas bekerja supaya lebih fokus. Cara ini juga menjadi batas kepada anak-anak untuk mereka faham bahawa anda sedang bekerja. Jadi, mereka tidak boleh mengganggu apabila anda berada di ruangan tersebut.
Selain itu, elakkan juga bekerja di tempat tidur dan di ruangan anak selalu bermain supaya dapat kurangkan gangguan, jadi anda boleh fokus bekerja. Untuk naikkan mood bekerja, buat sedikit dekorasi dan lengkapkan peralatan bekerja.
Libatkan anak dengan aktiviti
BUKAN mudah untuk menerangkan kepada anak-anak yang kita sedang sibuk bekerja, lebih-lebih lagi kalau usia masih kecil dan tidak mengerti apa-apa.
Oleh itu, anda tidak boleh berkeras sepanjang masa, sebaliknya lekakan mereka dengan aktiviti permainan seperti mewarna, bermain permainan blok dan menonton rancangan kanak-kanak.
Anda juga boleh menetapkan masa-masa tertentu untuk turut sama bermain bersama mereka supaya anak-anak tidak rasa ditinggalkan.
Jaga diri, jangan stres
HAKIKATNYA, bekerja dari rumah dengan anak kecil tidak akan sempurna setiap hari. Ada hari kerja terganggu, ada hari anak meragam.
Itu normal, yang penting adalah konsisten berusaha mengikuti jadual yang telah disusun dan tidak terlalu stres.
Pastikan anda cukup rehat, makan dengan baik dan ambil masa untuk diri sendiri. Jika anda penat atau stres, produktiviti akan menurun.














