PETALING JAYA – Seorang pakar perunding keluarga mendedahkan trend hubungan suami isteri masa kini yang semakin menjijikkan apabila gemar bertukar pasangan seks atas beberapa faktor termasuk tidak puas, meniru aksi filem lucah dan bernafsu tinggi.
Tidak kira muda atau tua, mereka seolah-olah tidak mempedulikan mengenai dosa dan penyakit ketika mengadakan hubungan seks termasuk dengan pondan dan lesbian.
Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, ada pengadu memberitahu pasangan mereka terutama lelaki suka bertukar pasangan atas dengan alasan tidak mencapai kepuasan maksimum ketika melakukan hubungan intim.
Katanya, ada juga yang sudah terjebak ketika berada di peringkat universiti sebelum perbuatan itu terbongkar selepas berkahwin.
“Ada wanita berusia 21 tahun datang mengadu perangai buruk suaminya yang suka melanggan pelacur selepas enam bulan mereka bernikah atas alasan tidak puas.
“Tabiat itu bermula sejak di universiti dan terbongkar selepas mereka berkahwin. Sejak beberapa tahun lalu, saya mengendalikan tiga hingga empat kes seperti ini melibatkan mereka berusia 21 hingga 30 tahun,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurut Hushim, ada juga kes suami isteri suka tukar pasangan dengan kenalan walaupun masing-masing telah berkahwin.
Tambahnya, kebanyakan mereka datang untuk mendapatkan khidmat kaunseling selepas insaf dan ingin kembali ke pangkal jalan apabila mereka menghidap sifilis serta HIV.
“Ada mengaku terjebak selepas menonton video lucah. Pada awalnya ingin mencuba tetapi ketagih dan sanggup bertukar-tukar pasangan yang sah untuk melakukan seks,” katanya.
Ujar Hushim, pasangan yang datang mengadu kebanyakannya sudah parah dan ada penyakit berbahaya serta ingin kembali ke pangkal jalan selepas bercerai.
“Paling tua berusia 73 tahun dan telah mengamalkan perangai jijik itu hampir berbelas tahun. Pasangan tua yang saya terima pula lebih 10 kes sejak lima tahun lalu,” katanya.
Menurut Hushim, ada juga kes melibatkan suami isteri suka bertukar pasangan dengan kaum sejenis.
“Ada yang mengaku melanggan pondan atau mencari pasangan homoseksual kerana bagi mereka layanan lebih ‘tiptop’. Wanita pula akan mencari pasangan lesbian yang pernah mereka kenal sebelum berkahwin.
“Pasangan sejenis memberi layanan yang lebih dan mencapai ‘KPI’ berbanding layanan daripada pasangan sah mereka,” katanya.
Ujar Hushim, ada pasangan menyesal berkahwin kerana tidak puas dengan pasangan masing-masing kerana mempunyai bayangan seks tinggi selepas menonton filem lucah.
Selain itu katanya, ada juga yang mudah bosan dengan pasangan masing-masing selepas beberapa tahun berkahwin selain suami atau isteri tidak mampu memenuhi nafsu atas faktor usia, penyakit dan kesibukan.














