fbpx

2 lelaki Afrika dalang sindiket pemalsuan dokumen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara suspek warga Afrika yang ditahan oleh pihak Imigresen baru-baru ini. FOTO IHSAN JIM

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen yang didalangi dua lelaki warga Afrika dalam satu operasi khas pada 25 Oktober lalu di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dua lelaki berusia 46 dan 56 tahun itu merupakan warganegara Nigeria serta Ghana masing-masing ditahan di sekitar Kajang dan Kuala Lumpur.

Katanya, operasi yang bermula pada pukul 10 pagi itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

“Hasil daripada risikan yang dijalankan selama dua minggu pasukan operasi telah berjaya mengesan dan menahan ‘dalang utama’ sindiket iaitu seorang lelaki warganegara Nigeria di Kajang, Selangor.

“Pasukan operasi kemudiannya bergerak ke rumah suspek di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur untuk membuat pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan di premis tersebut, pasukan operasi telah menjumpai dan merampas 10 naskah pasport Nigeria disyaki palsu serta sekeping pelekat Pas Pelajar palsu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tambahnya, suspek turut mendedahkan bahawa pelekat Pas Pelajar tersebut diperolehi daripada seorang lelaki warganegara Ghana.

“Seterusnya pasukan operasi bertindak untuk mengesan dan menahan seorang lelaki warganegara Ghana di Jalan Kasturi, Kuala Lumpur. Semasa penahanan dilakukan pasukan operasi turut menemui sekeping pelekat Pas Pelajar palsu bersama suspek.

“Pasukan operasi kemudiannya ke rumah kediaman suspek di Cheras, Selangor. Hasil pemeriksaan di premis tersebut pasukan operasi menjumpai dan merampas dua keping pelekat Pas Pelajar palsu, enam keping i-kad JIM palsu, sekeping Kad UNHCR palsu dan tujuh keping Kad Pelajar pelbagai universiti serta kolej di sekitar Lembah Klang,” ujarnya.

Menurut beliau, modus operandi sindiket adalah mensasarkan warga Afrika yang mempunyai masalah di Malaysia seperti tiada dokumen pengenalan diri dan visa.

“Sindiket akan mencari dan menghampiri mereka yang bermasalah ini dan kemudiannya menawarkan perkhidmatan untuk menyediakan dokumen seperti pasport, Pas Pelajar, Pas Penggajian, i-Kad, kad UNHCR dan kad pelajar palsu.

“Siasatan awal mendapati sindiket mengenakan bayaran sekitar RM1,000 bagi setiap naskah pasport dan bayaran RM200 sekeping untuk lain-lain dokumen seperti Pas Pelajar dan kad pelajar,” ujarnya.

Katanya, suspek ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI