fbpx

PPR Rembau tertangguh babit ’empat menteri’ bakal siap tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Akmal (tiga dari kiri) semasa melakukan lawatan ke PPR Rembau, di sini, hari ini.

REMBAU – Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Rembau yang sudah pun diluluskan sejak tahun 2016 dan didakwa tertangguh membabitkan pertukaran ’empat menteri’ dijangka siap selewat-lewatnya hujung tahun hadapan.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tinjauannya mendapati projek sakit yang berjaya diselamatkan kementerian itu kini sudah pun dianggarkan siap sebanyak 91 peratus selepas kontraktor asal telah ditamatkan pada tahun 2019 dan digantikan dengan kontraktor penyelamat pada tahun 2020.

“Kalau ikutkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setempat, projek ini (dari segi kelewatan) sudah empat menteri bertukar. Projek ini sangat mencabar, sepatutnya siap tahun lepas (September 2022). Berdasarkan perbincangan tadi, projek ini mampu disiapkan dalam tempoh 10 hingga 12 bulan lagi.

“Cabaran yang ada di sini membabitkan agensi utiliti dan pentadbiran. Kalau dari segi rumah hampir siap. Selepas projek ini selesai, kelulusan kabinet iaitu meminda projek kepada skim Rent to Own akan berlaku,” katanya selepas melakukan lawatan sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Rembau, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ke empat buah lokasi di bawah kawasan pentadbiran Majlis Daerah Rembau (MDR) iaitu Stadium Mini Rembau; Medan Selera Sri Kendong, Pasar Malam Pekan Rembau dan terakhir di PPR Rembau.

Untuk rekod, PPR Rembau membabitkan pembinaan 452 unit rumah teres satu tingkat dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM129 juta.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta melibatkan projek pencahayaan dan lampu jalan solar LED.

Menurutnya, sehingga kini, MDR telah menerima peruntukan sebanyak RM3.05 juta meliputi RM2.15 juta peruntukan di bawah BP.1 (43 projek), RM400 ribu bagi menaik taraf tiga (3) projek sistem perparitan dan longkang dan RM500 ribu bagi pembinaan baharu 25 unit MyKiosk. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI