fbpx

Peguam inkues Baby Syifaa tarik diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peguam mewakili keluarga Baby Syifaa iaitu Hafiz (kod hitam) dengan bapa bayi, Yuseri Yusof (baju hitam, bertopi) pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Baby Syifaa di Mahkamah Koroner di sini hari ini. Foto oleh MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN/KOSMO!

SEREMBAN – Peguam pemerhati keluarga Baby Syifaa, Hafiz Norkhan menarik diri daripada mewakili keluarga mangsa bagi kes inkues mencari punca kematian bayi berusia 15 bulan itu atau nama sebenarnya Nour Rania Asyifaa Yuseri.

Hafiz berkata, keputusan itu dibuat antara lain kerana terdapat isu tular di media sosial yang memprejudiskan prinsip undang-undang dan nama baik serta reputasi firma guamannya, Tetuan Hafiz Norkhan & Co.

“Kami telah mengambil perhatian mengenai penularan isu itu di laman sosial Facebook Aliff Ahmad yang melibatkan pelanggan kami yang juga pemilik akaun Facebook bernama Aisya Safiya (yang dirujuk sebagai pelanggan kami dan Yuseri Yusoff).

“Kami juga memaklumkan kedua-dua pihak telah membuat laporan polis dan kes itu kini disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Jelas Hafiz, beliau juga telah membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 2 November 2023 (semalam) untuk menafikan penglibatan firma Tetuan Hafiz Norkhan & Co dalam isu tersebut.

“Sebagai pengamal undang-undang, kami sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada PDRM. Kami ingin menegaskan bahawa firma guaman kami tidak pernah melantik mana-mana individu untuk mewakili firma kami dalam sebarang urusan dengan mana-mana pihak termasuk pelanggan kami,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa firmanya tidak membenarkan mana-mana pihak membuat sebarang representasi atau mencetak semula dengan menggunakan nama peguam, logo atau apa-apa kandungan yang dicetak atas nama tetuan firma kami, Hafiz Norkhan & Co.

Menerusi akaun Facebook bernama Aisya Safiya, mangsa mendakwa telah berhubung dengan bapa Baby Syifaa, Yuseri Yusoff berkenaan isu ‘scammer’ emas dan Yuseri ada meminta mangsa memasukkan sejumlah wang ke beberapa akaun bank atas alasan untuk peguam, Hafiz memulakan kerja bagi mewakili kesnya.

Menurut Hafiz, beliau tidak mengetahui namanya telah digunakan dan hanya maklum dua minggu lalu oleh mangsa dan pengadu lain sebelum membuat laporan polis berkenaan isu itu semalam.

Sementara itu, Yuseri menerusi kenyataan di Facebook mengumumkan penamatan Tetuan Hafiz & Co sebagai peguam pemerhati keluarga untuk kes inkues Baby Syifaa.

“Beliau tarik diri atas dasar prinsip, tiada kaitan isu dan kes digembar-gemburkan. Aku kena tamatkan kerana beliau nak tarik diri selepas Hakim Mahkamah Koroner beri masa singkat untuk ‘Rebuttan Report’ (laporan menyanggah).

“Peguam pemerhati bukan seorang ada tiga lagi firma guaman terlibat dalam mengendalikan kes inkues,” kongsinya di Facebook.

Prosiding inkues kes Baby Syifaa akan bersambung pada 8 dan 9 November ini di Mahkamah Koroner Seremban.

Media sebelum ini melaporkan, Baby Syifaa yang berusia 15 bulan ditemui tidak sedarkan diri dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman di Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari 2022.

Pada 30 Mac 2022, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI