fbpx

Bekas CEO nafi kemuka dokumen penilaian harga palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH (tengah) diiringi pegawai SPRM dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mengemukan butir matan palsu.

MELAKA – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah anak syarikat kerajaan negeri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berjumlah RM56,000 bagi pembelian dua kenderaan yang akan dilupuskan, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Muhaimin Lau Abdullah, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat memperdayakan prinsipalnya iaitu Pembangunan Pertanian Melaka Sdn. Bhd. dengan mengemukakan satu surat penilaian harga milik syarikat itu bersama lampiran bertarikh 19 April 2021.

Ia bagi kepentingan peribadi yang mengandungi butir matan palsu nilai semasa Toyota Fortuner 4WD pada RM36,000 manakala RM20,000 untuk Toyota Hilux berbanding nilai sebenar yang dikeluarkan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKRM) iaitu RM50,000 dan RM35,000.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seskyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta yang sama.

Sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal kesalahan itu, jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mana-mana yang lebih tinggi.

Sementara itu, bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa menggunakan sebagai tulen satu dokumen iaitu surat penilaian harga syarikat berkenaan bersama lampiran penilaian harga semasa dua kenderaan syarikat itu dengan nilaian RM36,000 bagi Toyota Fortuna 4WD dan RM20,000 bagi Toyota Hilux yang diketahui adalah palsu.

Tertuduh berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 akta yang sama.

Kesalahan itu dilakukan di Pembangunan Pertanian Melaka Sdn. Bhd. dalam daerah Jasin pada April 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali mencadangkan jaminan antara RM10,000 hingga RM30,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan terturuh perlu melapor diri setiap bulan di Pejabat SPRM Melaka sehingga kes selesai dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM6,000 dengan alasan tertuduh tidak bekerja dan menyara keluarga termasuk bapa yang menghidap penyakit strok.

Elesabet kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Beliau turut menetapkan tarikh 11 Disember ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI