fbpx

40 ditahan kes pelaburan Yomaex babit kerugian RM50.6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli (kanan) menunjukkan barang rampasan pada sidang akhbar Situasi Semasa Jenayah Komersial, , hari ini. Foto oleh MOHD FARIZWAN HASBULLAH/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seramai 40 individu termasuk sembilan wanita yang disyaki terlibat dalam pelaburan Yomaex ditahan dalam operasi di seluruh Malaysia bermula 29 hingga 31 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 55 tahun yang mana 38 daripadanya berperanan sebagai pemilik perniagaan, pengarah serta setiausaha syarikat.

Sementara itu, baki dua individu lagi memainkan peranan sebagai pegawai bank dan agen pencari akaun keldai.

Menurut Ramli, sebanyak 16 kertas siasatan dibuka terhadap skim pelaburan berkenaan melibatkan kerugian keseluruhan RM50,620,880.

“Mangsa-mangsa direkodkan berusia dari 22 hingga 81 tahun dan mempunyai pelbagai latar belakang kerjaya dengan majoritinya adalah pesara dan ahli perniagaan.

“Berdasarkan siasatan, skim ini menawarkan pelaburan berasaskan matawang kripto dengan keuntungan tinggi dalam masa yang singkat. Setiap pelabur yang menyertai skim ini akan diberikan akses untuk memantau urus niaga yang dilakukan melalui sistem yang dikendalikan pihak syarikat.

“Melalui sistem tersebut, pelabur dapat melihat akaun mereka menjana keuntungan namun mereka tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pengeluaran,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Menurut Ramli, pihaknya mengesan sebanyak 63 akaun bank yang dipercayai didaftarkan semata-mata operasi mereka, melibatkan 32 syarikat dan 19 perniagaan.

“Kita turut merampas sebanyak 19 buah telefon bimbit, set dokumen berkaitan skim pelaburan (17), satu token keselamatan transaksi perbankan dalam talian, satu unit komputer riba, fail setiausaha syarikat (3) , sekeping salinan resit pembayaran bank, sebuah beg berwarna biru dan dua kad debit.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI