PETALING JAYA – Harga ayam proses yang dijual di pasaran akan tetap rendah dan stabil walaupun subsidi bagi ayam akan ditamatkan sepenuhnya bermula hari ini.
Keadaan itu berikutan lambakan ayam yang banyak di pasaran tidak seperti kebiasaan ketika berlaku krisis bekalan.
Seorang peruncit ayam di Kota Bharu, Kelantan, Mohamad Dinie Ariff Mohamad Nordin, 33, berkata, lambakan ayam sejak sebulan lalu menyebabkan ramai peniaga tidak mahu naikkan harga jualan sehingga ke harga siling iaitu RM9.40 sekilogram.
Jelasnya, selepas subsidi ditamatkan, dia percaya peniaga ayam tiada kemampuan untuk menaikkan harga bahan mentah itu kerana berlaku lambakan ternakan di ladang-ladang utama di Kedah, Perak dan Pulau Pinang.
“Berikutan banyak bekalan ayam ketika ini, saya jual ayam proses harga harga antara RM7.50 hingga RM8 sekilogram.
“Saya tidak berani untuk menaikkan harga jualan kerana khuatir pelanggan lari. Ditambah pula bekalan ayam banyak ketika ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Mohamad Dinie Ariff memberitahu, keadaan itu juga menyebabkan jualan ayamnya ketika ini menurun daripada 4,000 ekor kepada 2,000 ekor sehari.
Ujarnya, difahamkan pemilik ladang terpaksa memanggil pemborong membeli ternakan mereka selepas perlu menanggung kerugian besar apabila berlaku lambakan ayam di beberapa negeri.
Di Melaka, seorang peniaga di Pasar Awam Bachang, Ghazali Abu Bakar, 59, pihaknya yakin harga ayam akan kekal seperti biasa susulan kini jumlah bekalan ayam adalah mencukupi.
Jelasnya lagi, kini rata-rata peniaga juga hanya mengambil bekalan ayam hidup dan melakukan proses penyembelihan sendiri bagi mengurangkan kos daripada peladang.
“Dahulu, harga ayam naik kerana kita kekurangan bekalan ayam. Kini, bekalan ayam telah kembali normal dan harga juga seperti biasa, memang tidak ada masalah atau desas-desus kenaikan harga.
“Kalau peladang mempunyai ternakan atau bekalan banyak mereka akan turunkan harga, kita juga turunkan harga runcit seperti minggu ini ayam dijual pada RM8.90 sekilogram,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Seorang lagi peniaga, Ahmad Bakhtiar Omar, 38, memberi jaminan harga ayam tidak akan alami kenaikan selepas kerajaan mengapungkan bahan mentah itu.
“Harga tidak akan naik, kami peniaga pun bersaing sesama sendiri, dekat pasar ini pun ada lebih 20 peniaga kalau jual mahal memang orang tak nak beli,” ujarnya.















